Usaha
Baru sempat nak menulis setelah seharian berpenat lelah menjaga 'Ali. Siapa sangka, atau mungkin dah pernah orang jangka bahawa mengasuh, menjaga budak kecil memang memenatkan. Tambah pula anak sendiri. Banyak juga melayan karenah 'Ali. Aku rasa mungkin ini kali pertama dan insyaAllah seterusnya aku rasa cukup seronok melayan 'Ali selepas berhenti kerja. Aku ada banyak masa dengannya. Jika sebelum ini mungkin aku masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan suasana bekerja sendiri, aku masih belum menerima ketentuan takdir tentang perjalanan kehidupan aku sehingga kini.
Siapa sahaja yang tidak rasa sedih atau terkilan, dalam umur yang menghampiri 35 tahun aku masih lagi terkapai kapai dalam keserabutan dan kepayahan untuk mengejar impian dan cita-cita sendiri. Dalam keadaan kewangan yang terumbang ambing dan tiada kawan rapat untuk berkongsi atau meluah apa-apa, aku cukup bersyukur dikurniakan isteri dan anak yang sekarang ini menjadi seluruh dunia aku.
Apa-apa perkara, perbuatan yang aku buat tidak penting selain dari impian untuk membuatkan mereka berdua berbangga dengan aku. Dan aku perlu berusaha sehabis mungkin untuk mengejar cita-cita dan impian aku kerana itu juga yang dapat membanggakan mereka, tambahan lagi dapat membuktikan kepada 'Ali bahawa ayah bondanya tetap berusaha untuk mengejar impian dan cita-cita. Bukan membiarkan ia mati tanpa usaha dan harapan yang berterusan.
Semoga aku berjaya mendaftar semula untuk pengajian sarjana dan dapat menghabiskan pengajian dengan jayanya. Aku berhasrat juga untuk menukar pengajian terus dari sarjana ke PHD, untuk menjimatkan kewangan dan masa. Aku perlu berusaha dari sekarang supaya dapat mencapai impian sebegitu.
Comments
Post a Comment