Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan

 Penghijrahan sudah sinonim dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Orang Melayu yang beragama Islam khususnya, mengingati peristiwa bersejarah ini sebagai sebuah kisah yang memberi dorongan dan semangat. Manakan tidak, kisah penghijrahan sahabat sahabat Nabi, beserta pengikut/penganut Islam yang terawal dari Mekah ke Madinah bukan merupakan kisah yang begitu mudah. Pada waktu tersebut, pelbagai rintangan yang perlu dihadapi oleh mereka untuk berpindah ke kota Yathrib yang kemudiannya ditukar kepada Madinah. Setiap mereka mempunyai rintangan yang tersendiri. Yang kaya terpaksa meninggalkan seluruh harta benda, bahkan berkorban segalanya demi memastikan perjalanan tersebut berjaya. Yang tidak berharta pula, terpaksa menyembunyikan keimanan mereka dari pihak autoriti Mekah pada ketika itu. Pada yang hamba diseksa dengan begitu kejam sehingga ada yang meninggal dunia akibat seksaan yang begitu dahsyat. Dalam keadaan sebegitu, Nabi Muhammad juga tidak terkecuali dari menerima rintangan yang mencabar. 


Kisah tentang penghijrahan, pentingnya episod penghijrahan ini sering diulang-ulang oleh para ustaz kita sempena menyambut Maal Hijrah yang juga bakal tiba. Kita mungkin sudah mampu menghafal kronologi peristiwa tersebut kerana kisah ini diulang-ulang dalam setiap program-program di sekolah, masjid bahkan di kawasan-kawasan perumahan kita. 


Hijrah merupakan satu proses transisi, pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain. Dari sudut lain, ia juga digunakan bagi menunjukkan perubahan dari buruk kepada yang baik. Kisah tentang penghijrahan ini tidak hanya memberi fokus kepada penghijrahan Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya ke Madinah sahaja, malah kisah Nabi sebelum ini juga dapat kita lihat sebagai sebuah kisah perubahan/perpindahan yang dihadapi oleh mereka.


Erich Fromm dalam bukunya Psychoanalysis and Religion menghuraikan tentang bagaimana konsep psikoanalisis ini mampu juga untuk difahami dalam kerangka agama. Tulisan ini yang juga dikarang bagi menjelaskan dengan lebih terperinci apa yang ditulis oleh Sigmund Freud di dalam bukunya iaitu The Future of Illusion, Fromm juga mengulas tentang bagaimana psikoanalisis tidak hanya memberi fokus kepada konsep seksualiti dalam teorinya semata-mata.


Fokus psikoanalisis sebagai sebuah teori dalam psikologi moden yang cuba untuk mengkaji tingkahlaku manusia dengan melakukan kajian terhadap minda bawah sedar yang Freud percaya mendasari setiap dari tingkah laku manusia. Psikoanalisis sering dikritik kerana teorinya yang terlalu obses dengan seksualiti. Freud seringkali mengaitkan seks dalam menghuraikan kejadian neuroses yang dialami oleh pesakit yang memerlukan rawatan terapi darinya.


Erich Fromm yang juga merupakan seorang ahli psikoanalisis, cuba untuk menterjemahkan teori yang dibawa oleh Freud dari sudut sosial dan masyarakat. Kefahaman yang dibawa olehnya tentang seksualiti yang dipegang oleh Freud, tidak bermaksud seksualiti secara harfiah (literal) sahaja namun ia juga merupakan suatu perlambangan terhadap hubungan antara sesama manusia dalam masyarakat.

Di dalam bab Is Psychoanalysis a Threat to Religion, Fromm menerangkan konsep incestuous worship yang berkait rapat dengan incestuous ties yang cuba dihuraikan oleh Freud di dalam Theory of Sexuality. Fromm juga cuba untuk menghuraikan bagaimana konsep ‘love thy neighbor’ yang dipegang oleh agama Kristian dari sudut reasoning, bukan hanya ikutan semata-mata. Penganut agama Kristian seharusnya mengetahui kenapa perlunya untuk berbuat baik serta menyayangi jiran mereka. Konsep dan pegangan dari ajaran setiap agama, sentiasa memandu penganutnya ke arah kedamaian dan keharmonian, dunia dan akhirat. Amalan mencintai jiran ini merupakan salah satu darinya, yang mana ia tidak membebankan malah sangat bagus amalan berbuat baik kepada jiran. Namun begitu, menurut Fromm, mengikut secara taqlid tidak hanya akan membawa manusia itu kepada jauh dari mengenal diri sendiri, malah ia juga akan menolak satu satunya kemampuan manusia yang bakal menjadikan manusia itu makhluk yang terbaik, iaitu kemampuan untuk berfikir secara kritis melalui proses taakulan (reasoning).  


Kita tidak nafikan bagaimana kesannya pengamalan agama melalui ritual sejak turun temurun, malah dari kecil lagi sangat mempengaruhi pemikiran, serta fungsi kognitif manusia. Malah dalam buku Contemplation: An Islamic Psychospiritual Study tulisan Prof Malik Badri, ia mengulas panjang tentang bagaimana fungsi ritual yang biasa dilakukan sejak kecil akan memberi kesan yang positif terhadap seseorang individu tersebut walaupun dia sudah lama menjauh dari ritual agama. Yang ditentang oleh Freud menurut Fromm ialah tentang keadaan ikut-ikutan tanpa memahami dengan sendiri ritual serta pegangan agama yang dianuti oleh mereka. Fromm malah mengatakan mereka yang mengikut tanpa meletakkan proses taakulan juga sebagai individu yang masih dalam belenggu penjara budaya serta jauh dari kebebasan.

Kebebasan yang cuba diterangkan dalam buku ini pada Fromm adalah kebebasan yang tidak terikat kepada ikutan semata-mata, serta mampu untuk berfikir (reasoning) kerana ia merupakan kelebihan yang cukup besar buat manusia. Fromm juga menghuraikan kisah Adam Hawa yang memakan buah Khuldi walaupun sudah dilarang sebagai sebuah kisah pertama buat manusia dalam proses pencarian makna kehidupan dengan reasoning. Kisah Adam Hawa yang selesa di Syurga tidak mahu memilih keselesaan dalam kehidupan, dan mereka memilih untuk mencari erti kehidupan melalui proses berfikir (taakulan) tersebut. 


Incestuous worship yang cuba dihuraikan oleh Fromm berkait rapat dengan incestuous ties yang dikeluarkan oleh Freud. Kisah Oedipus yang kembali menikahi ibunya dan kemudian membunuh ayahnya sendiri, dijadikan panduan oleh Freud untuk mengaitkan attachment anak-anak yang tidak akan berkesudahan terhadap ibu bapa. Tetapi, Fromm menghuraikan bagaimana idea incestuous ties ini dapat dilihat dari sudut hubungan interpersonal antara manusia, dan tidak hanya memberi fokus kepada seksualiti anak-anak terhadap ibu bapanya sahaja. 


Budaya mampu menjadi sebuah ikatan yang cukup kuat dalam menghalang perkembangan manusia, khususnya pada pemikiran manusia. Kita mudah selesa dengan budaya yang diamalkan sejak turun temurun, maka dengan sikap sebegitu akan membuatkan manusia itu kurang menggunakan mindanya untuk berfikir dan mencari kebenaran itu sendiri. Ikut-ikutan ini yang menurut Fromm merupakan incestuous worship yang membuatkan individu selesa terhadap pegangan budaya dan agama yang dipegang sejak dari kecil. 

Proses penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah, merupakan simbolik kepada perubahan tempat yang selesa dan selamat kepada sebuah tempat yang menjadi pegangan agama secara reasoning. Nabi Muhammad serta para sahabat yang terpaksa membuang rasa selesa berada di tempat lahir sendiri, lalu memilih untuk keluar berhijrah jika dilihat dari sudut kebebasan Fromm, merupakan transisi seorang Nabi dalam membawa agama yang memberi fokus terhadap reasoning dalam ritual serta ajarannya.


Setiap ajaran agama juga begitu, termasuk Yahudi dan Kristian. Setiap Nabi yang diturunkan juga melalui proses yang sama, iaitu proses penghijrahan untuk memutuskan ikatan keselesaan terhadap budaya lama untuk mendapat sebuah kepercayaan serta ajaran yang mengangkat proses reasoning, iaitu proses pemikiran menggunakan akal manusia sendiri dalam mencari kebenaran.


Tetapi, seperti juga agama yang lain, serta melihat tamadun yang silih berganti akibat kejatuhan mereka apabila terlalu selesa. Begitu juga yang berlaku kepada agama-agama sebelum ini. Keselesaan yang ada telah membawa penganut-penganut agama yang ada untuk tidak memahami dengan baik lalu lebih selesa mengikut sahaja ritual yang telah diarahkan, dan kemudian akan mengulang semula ikatan yang akan membuatkan manusia itu lebih jauh dari menjadi diri sendiri. 


Pemahaman hijrah tidak seharusnya diulang-ulang dengan kisah dari sudut pandang yang sama sahaja tanpa membawa apa-apa pengertian. Seharusnya, kisah-kisah seperti ini merupakan kisah motivasi yang sepatutnya menggalakkan penganut-penganut untuk lebih memahami diri sendiri dalam membawa diri masing-masing ke arah menjadi manusia yang lebih baik, dan bukannya menggunakan agama untuk menundukkan penganutnya semata-mata. 


Comments

Popular posts from this blog

Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024