I-Tanggang : Penyakit Munchausen Syndrome By Proxy yang menidakkan autoriti Ibu Bapa terhadap Anak
Sepanjang menonton drama bersiri I-Tanggang, saya cepat mengingat akan bagaimana setiap kanak-kanak dan remaja mempunyai keperluan psikologi mereka yang perlu diberikan dengan baik mengikut umur mereka. Memandangkan julat tayangan drama ini, saya baru lepas mempelajari subjek psikologi kanak-kanak dan juga sedang belajar psikologi abnormal di semester sekarang, maka saya merasakan bahawa drama bersiri I-Tanggang ini sebuah naskhah arahan Wan Hasliza, Wan Alauddin dan Rashidi Ishak yang amat menarik untuk ditonton. I-Tanggang cuba untuk membawa penonton untuk melihat dari sudut berbeza sebuah cerita rakyat yang sering diulang cerita oleh setiap ibu bapa kepada anak-anaknya iaitu Si Tanggang. Kisah Tanggang yang menjadi kaya dan berkahwin dengan anak saudagar lalu menderhakai ibunya, kemudiannya disumpah oleh ibunya menjadi batu, menjadi sebuah cerita rakyat yang amat menakutkan pada kanak-kanak. Bukan sahaja ceritanya, malah filem mengenainya juga yang diarahkan oleh Ja...