I-Tanggang : Penyakit Munchausen Syndrome By Proxy yang menidakkan autoriti Ibu Bapa terhadap Anak
Sepanjang menonton drama bersiri I-Tanggang, saya cepat mengingat akan bagaimana setiap kanak-kanak dan remaja mempunyai keperluan psikologi mereka yang perlu diberikan dengan baik mengikut umur mereka. Memandangkan julat tayangan drama ini, saya baru lepas mempelajari subjek psikologi kanak-kanak dan juga sedang belajar psikologi abnormal di semester sekarang, maka saya merasakan bahawa drama bersiri I-Tanggang ini sebuah naskhah arahan Wan Hasliza, Wan Alauddin dan Rashidi Ishak yang amat menarik untuk ditonton.
I-Tanggang cuba untuk membawa
penonton untuk melihat dari sudut berbeza sebuah cerita rakyat yang sering
diulang cerita oleh setiap ibu bapa kepada anak-anaknya iaitu Si Tanggang. Kisah
Tanggang yang menjadi kaya dan berkahwin dengan anak saudagar lalu menderhakai
ibunya, kemudiannya disumpah oleh ibunya menjadi batu, menjadi sebuah cerita
rakyat yang amat menakutkan pada kanak-kanak. Bukan sahaja ceritanya, malah
filem mengenainya juga yang diarahkan oleh Jamil Sulong dengan Jins Shamsuddin
sebagai Tanggang amat mengerikan untuk ditonton. Masakan tidak, ketika zaman
kanak-kanak dahulu, perkara mistik seperti disumpah ini merupakan antara perkara
yang sering digunakan untuk menakutkan kanak-kanak supaya mendengar kata dan
tidak berkelakuan yang tidak senonoh.
Kisah Khalil dan ibunya, Erma
yang sering mengawal anaknya menjadi tunjang utama penceritaan di dalam drama
bersiri terbitan Astro Original ini. Kisah yang bermula dengan bagaimana Erma
mengumumkan pada majlis pelancaran buku terbarunya bahawa anaknya Khalil hanya
mempunyai enam bulan sahaja lagi untuk hidup, mencetuskan plot yang bakal
merubah pendirian setiap dari kita yang menonton drama ini. Khalil yang
kemudian berkenalan dengan kawan di media sosial, cuba untuk mencari kebenaran
di sebalik pengumuman ibunya dan dalam masa yang sama cuba untuk mencari
kebenaran tentang penyakit yang dihadapi olehnya.
Kisah ini berkembang dengan
penceritaan bagaimana Khalil bertemu dengan Shafiq dan juga Esra, kawan di
media sosial yang mana merupakan ahli kumpulan yang bernama I-Tanggang. Nama
I-Tanggang ini dipilih memandangkan masing-masing merupakan anak yang dikatakan
sedang atau bakal menjadi anak yang derhaka kepada ibu bapa mereka. Penemuan demi
penemuan mengenai kebenaran tentang status kesihatan dirinya dan juga ibunya bakal
membawa mereka bertiga kepada peristiwa yang akan mengubah kehidupan mereka
sepenuhnya.
Menurut pengarah bersama, Wan
Hasliza, beliau mengatakan bahawa drama bersiri ini dibuat untuk mengetengahkan
isu penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy. Drama yang juga
merupakan idea asal beliau, dilihat cuba untuk keluar dari kebiasaan drama
bersiri di Malaysia. Dalam menunjukkan bagaimana penderaan mental di dalam
rumah boleh berlaku kepada anak oleh ibu bapanya, drama ini juga cuba untuk
mengetengahkan kepentingan keperluan psikologi kepada kanak-kanak.
Munchausen Syndrome by Proxy merupakan salah satu penyakit mental yang wujud dan
jarang untuk didengar di Malaysia. Berkemungkinan kerana bagaimana keadaan
sosial orang di Malaysia, terutamanya orang Melayu yang sering dimomokkan atau
ditakutkan oleh kisah Si Tanggang, kebanyakan anak anak yang berkemungkinan di
dera fizikal dan mentalnya digambarkan seperti watak si Khalil dalam siri
I-Tanggang ini. Penceritaan dalam drama ini yang sekaligus berjaya meruntuhkan
tabo masyarakat bahawasanya bukan sahaja anak-anak yang boleh menderhakai ibu
bapanya, malah sebaliknya juga boleh berlaku dan itu bukan sebuah normalisasi yang
patut dibiarkan begitu sahaja. Seusai menonton drama ini dengan isteri, beliau
juga tidak sangka wujudnya penyakit yang begitu sukar untuk disebut namanya
ini. Sebelum ini pun saya mengetahui dari drama bersiri terbitan HBO iaitu
Sharp Object yang merupakan adaptasi dari buku berjudul yang sama tulisan
Gillian Flynn.
Munchausen merupakan penyakit
mental yang mana pesakit akan menyakiti dirinya sendiri atau berpura-pura sakit
untuk mendapatkan perhatian dari orang lain ataupun untuk menggunakannya supaya
orang di sekeliling mendengar katanya. Manakala Munchausen Syndrome by Proxy
pula merupakan penyakit mental yang membuatkan pesakit cuba untuk membuatkan
orang berdekatan dengannya sakit dengan berbagai cara supaya orang tersebut
bergantung harap pada pesakit. Kedua dua penghidap penyakit ini, sama ada
Munchausen atau Munchausen Syndrome by Proxy merupakan simptom tipikal
penyakit mental yang dahagakan perhatian orang lain. Dalam drama bersiri
I-Tanggang ini, watak ibu Khalil iaitu Erma dilihat merupakan pesakit Munchausen
Syndrome by Proxy. Watak Erma ditunjukkan dengan bagaimana dia akan
tersenyum gembira apabila bekas suaminya bergegas ke rumah mereka apabila
mendengar berita Khalil jatuh sakit. Dengan keseronokan yang dirasai olehnya
kerana bekas suaminya memberi perhatian kepadanya, maka bermula dari situ Erma
mula membuatkan Khalil mudah untuk jatuh sakit dengan sering memberi anaknya
itu untuk minum air garam.
Pesakit yang menghidap penyakit Munchausen
Syndrome by Proxy ini boleh dikatakan mereka ini sebenarnya dahagakan
perhatian dari orang sekeliling. Dalam pembelajaran psikologi abnormal juga,
kita didedahkan oleh kebanyakan penyakit psikologi ini berpunca dari kurang
kasih sayang dari orang sekeliling terutamanya ibu bapa dan adik beradik
sendiri. Selain dari itu juga, mereka ini mudah untuk merasa tidak selamat jika
fikiran bakal bersendirian dalam hidup itu hadir. Atas dorongan ini juga,
mereka dilihat akan bertindak melakukan perkara yang tidak sepatutnya kepada
orang sekeliling mereka untuk memastikan kehidupan mereka ini tidak akan
berseorangan dan bersendirian lagi.
Watak Erma tidak banyak
diceritakan mengenai kehidupan dirinya sewaktu kanak-kanak. Ini membuatkan kita
sebagai penonton sukar untuk melihat dan merasionalkan mengapa dia mampu untuk
melakukan perkara yang tidak sepatutnya kepada Khalil.
Pengawalan Erma kepada anaknya
juga dilihat begitu keras dan kasar. Sesekali sewaktu kecil, walaupun Erma
jarang memukul anaknya namun dia sering mengugut dan menakutkan anaknya supaya
mendengar katanya supaya tidak menjadi anak derhaka kelak. Dan kesan ugutan
yang diterima oleh Khalil dilihat begitu meninggalkan trauma yang mendalam
kepadanya. Khalil, walaupun sedar bahawa ibunya mungkin akan membunuhnya kelak
namun masih cuba untuk mempertahankan ibunya. Keperluan Erma untuk mendapat
perhatian dari orang lain dan juga anaknya sendiri bakal membuatkan anaknya
mendapat trauma yang teruk sekali.
Keperluan psikologi kepada
kanak-kanak antara keperluan yang sering dilupakan oleh ibu bapa untuk
diberikan kepada anak-anak mereka. Terdapat banyak faktor yang menjadikan ibu
bapa terlepas pandang akan keperluan psikologi ini, namun seharusnya psikologi
anak-anak disamaratakan juga dengan keperluan fizikal yang lain seperti makanan
dan tempat tinggal yang selesa. Autonomi ialah keperluan psikologi yang memberi
peluang kepada kanak-kanak untuk belajar memilih seseuatu dalam kehidupan
mereka. Keperluan autonomi pada waktu kanak-kanak akan menjamin keyakinan diri
mereka dalam menghadapi realiti kehidupan apabila dewasa nanti. Selain watak
Khalil dan juga Erma, penonton juga dipertontonkan dengan kehidupan watak
Syafiq. Syafiq, merupakan ahli I-Tanggang ini diperlihatkan sebagai seorang
remaja yang terpaksa mengambil alih tempat ayahnya dengan menjadi rider untuk
menyara keluarganya. Keluarga Syafiq digambarkan sebagai sebuah keluarga yang
beragama, ayahnya pula sibuk keluar berjemaah dengan ahli kumpulan tabligh
untuk menyampaikan kebaikan agama. Syafiq memberontak di dalam diam,
memandangkan dia masih lagi bersekolah namun terpaksa berhenti untuk memastikan
adik-adiknya dapat belajar dengan baik. Keterpaksaan Syafiq untuk berhenti
belajar dan bekerja pada umur yang masih muda sedangkan remaja yang sebaya
dengannya sedang berada di sekolah untuk belajar merupakan antara pilihan yang
tidak sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak atau remaja. Menurut teori
psikososial oleh Erik Eriksson, remaja merupakan salah satu dari lapan tahap yang
mesti dilalui dengan baik dan sempurna oleh mereka pada tahap tersebut.
Eriksson percaya bahawa setiap tahap saling berkait rapat antara tahap yang
lain. Ini membawa maksud jika seseorang itu tidak dapat menyelesaikan dengan
baik dan sempurna pada sesuatu tahap, dia masih akan bergerak ke tahap
seterusnya namun tahap yang belum diselesaikan dengan baik itu akan tetap tidak
selesai.
Drama I-Tanggang ini mencetuskan pendapat dan pemikiran oleh setiap penonton. Jika penonton tersebut merupakan orang awam biasa, maka drama ini akan membuka ruang dalam pemikiran setiap dari kita bahawasanya penyakit mental seperti ini wujud, dan bagaimana seharusnya kita menjaga dan mendidik anak-anak dengan memberi keperluan fizikal, rohani dan mental yang baik dan sempurna untuk menjamin perkembangan mereka. Menurut Prof Malik Badri, untuk memecahkan budaya yang telah berkembang lama di dalam masyarakat tidak mudah memandangkan manusia boleh menjadi berat hati untuk menyerahkan budaya dan tabiat yang telah diselarikan dengan emosi dan juga kehidupan seharian. Begitu juga dengan menormalisasikan budaya mendera anak secara fizikal dan juga mental, tidak sepatutnya perkara itu berlaku. Anak-anak, menurut Prof Abdullah Nasih Ulwan merupakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah untuk kita sebagai ibu bapa mendidik dan menjaga mereka menjadi manusia yang berilmu dan berbudi pekerti yang baik dan sempurna.
Comments
Post a Comment