Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024
Setiap kali pulang ke rumah mertua di Kuala Lumpur, sudah menjadi rutin sejak tahun lepas untuk bertemu penyelia tesis sarjana saya, berbincang tentang perkembangan penulisan tesis. Walaupun saya baru saja mendaftar, sebelum itu lagi saya sudah berulang kali ke pejabat beliau untuk mendapat idea-idea tentang penulisan tesis yang baik.
Baru-baru ini, saya menemui beliau. Beberapa perkara menjadi perhatian buat saya untuk diambil kira, dan juga memperbaiki dalam usaha untuk menulis tesis yang baik. Di sebalik perbincangan tentang penulisan tesis, kami bersembang juga tentang idea-idea teori psikologi yang ada. Salah satu teori yang kami bersembang lama adalah tentang idea-idea Erich Fromm terhadap seni bercinta. Menurut penyelia saya, beliau juga agak hairan dan pelik kenapa dalam silibus psikologi sarjana muda, kita tidak membincangkan tentang idea-idea Erich Fromm. Malah, lebih menyedihkan lagi, kebanyakan pelajar psikologi sendiri tidak mengenali siapa itu Erich Fromm.
Dalam usaha saya untuk memahami idea-idea serta teori yang dikeluarkan oleh Erich Fromm, saya terjumpa dengan sebuah karyanya yang pada saya tajuknya agak cringe. Ia agak melewah, pada saya. Ini merupakan antara tanggapan awal ketika terjumpa buku Fromm yang bertajuk The Art of Loving ini. Bagi saya yang membesar dalam suasana yang meraih buku buku cinta romantis yang agak berbunga-bunga dari olahan ayat tetapi rata-ratanya sama sahaja isi kandungan, malah jarang menyentuh isu-isu yang kritis maka bagi saya buku Erich Fromm sebegini pun mungkin sama seperti buku-buku cinta khususnya cinta islamik yang menjadi kegemaran anak muda sekarang.
Usaha saya untuk menterjemah karya Erich Fromm memerlukan saya membaca buku-bukunya yang lain kerana penulisan Erich Fromm ini dilihat saling berkaitan antara sebuah buku dengan buku yang lain. Seperti Psychoanalysis and Religion yang merupakan kesinambungan ideanya yang ditulis dalam Man For Himself, begitu juga buku-buku lain yang menghuraikan idea yang sama, namun diolah dengan lebih jelas dan terperinci bagi memudahkan pemahaman kepada pembaca.
Manusia tidak dapat lari dari bersosial. Itu yang nyata pasti. Walau kritis mana kita cuba untuk menolak, ia merupakan sebuah hakikat yang tidak dapat dinafikan. Manusia memang dilahirkan di dunia ini untuk menjadi makhluk yang bersosial, yang mana perhubungan antara sesama manusia itu merupakan satu keperluan dalam kelangsungan kehidupan serta spesies.
Kita juga sedia maklum tentang wujudnya perasaan dalam diri manusia yang mendambakan rasa cinta serta kasih sayang. Rasa ingin dicintai, dan mencintai merupakan antara naluri yang wujud dalam skala kita sebagai makhluk yang memerlukan perhubungan dan sentuhan antara sesama manusia.
Kita tidak akan dapat memuaskan rasa cinta dan kasih itu kepada alam, mahupun haiwan-haiwan lain di dunia. Menurut Erich Fromm, penciptaan manusia itu sendiri merupakan sebuah keadaan yang bakal membuat permusuhan di antara alam dan haiwan-haiwan lain. Tambah beliau lagi dalam buku yang sama, manusia pada waktu bayi dan kanak-kanak akan lebih berhubung dengan alam. Mereka mengenal dunia melalui binatang, tumbuhan yang ada di sekelilingnya. Namun, apabila meningkat dewasa, mereka sudah mula sibuk dengan urusan-urusan lain dan akan semakin hilang perhubungan dengan alam. Semakin hilang perhubungan dengan alam, maka individu akan semakin memerlukan kepada cara lain agar dapat melarikan diri dari rasa terpisah, sama ada terpisah dari alam ataupun dalam masyarakat.
Dunia kita semakin mengecil. Jika dahulu, amat sukar untuk mengetahui keadaan serta situasi yang berlaku di utara jika kita berada di Selatan. Hakikat mengecil bukan dari sudut harfiah, namun lebih dari sudut komunikasi. Manusia dapat berhubung dengan individu lain yang berada jauh hanya dengan akses dalam media sosial. Penggunaan media sosial sebagai tempat bersosial sudah menjadi perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan seharian sekarang.
Erich Fromm, seorang ahli falsafah, sosiologi dan juga psikologi pernah menulis tentang seni bercinta yang menjelaskan tentang apa itu cinta serta kenapa kebanyakan manusia mengambil mudah hakikat tentang cinta ini.
Menurutnya, terdapat tiga sebab kenapa manusia sering menganggap cinta ini tidak lebih dari sekadar perasaan dan tidak perlu dipelajari.
Pertamanya, kebanyakan manusia lebih memberi fokus untuk dicintai berbanding mencintai itu sendiri. Oleh kerana itu, manusia tidak kira lelaki atau perempuan akan terbeban untuk mencantikkan diri sendiri untuk dicintai oleh orang. Dari situ kita dapat lihat bagaimana konsep cinta ini bergantung pada orang lain dan bukannya pada diri sendiri.
Kita tidak dapat nafikan bagaimana perubahan sosial dalam masyarakat pada hari ini yang memberi fokus kepada ciri-ciri atau kelebihan yang ada pada seseorang dalam mencari pasangan untuk dicintai. Kita dapat lihat dalam media sosial, penggunaannya dalam usaha mencari jodoh dapat dilihat melalui cara mereka ini menyenaraikan apa yang ada pada diri mereka dan kemudian menulis pula ciri-ciri yang dikehendaki yang perlu ada pada bakal pasangan tersebut. Dari satu sudut, ia merupakan salah satu dari usaha individu dalam memastikan mereka tidak terjatuh ke dalam ‘neraka dunia.’ Namun begitu, keadaan ini jika dilihat dari sudut yang lebih luas lagi, ia sebenarnya memberi satu refleksi berkenaan ketakutan dalam budaya kita terhadap memahami cinta itu sendiri.
Yang kedua pula ialah, kesilapan budaya masyarakat kita yang mengatakan bahawa masalah cinta itu ialah pada objek dan bukannya pada kualiti serta kelebihan yang ada pada diri sendiri. Disebabkan pegangan konsep sebegini kita mudah menyangka bahawa dengan mencari pasangan yang sempurna dapat menyelesaikan semua masalah, berbanding menilai kemampuan dan nilai yang ada dalam diri kita yang mampu dibawa dalam sesebuah perhubungan.
Kesilapan ketiga pula yang membawa kepada salah faham terhadap cinta itu ialah kekeliruan antara pengalaman ‘jatuh’ cinta, dan keadaan kekal yang membawa kepada dalam bercinta, atau lebih mudah untuk ditulis sebagai ‘teguh’ dalam percintaan.
Dalam buku ini juga, Fromm menghuraikan dengan terperinci bagaimana keadaan-keadaan itu disebabkan oleh kegagalan individu dalam memahami apa itu cinta. Menurutnya, cinta merupakan satu seni, dan kegagalan untuk memahami ia sebagai seni akan membawa individu kepada gagal merasai cinta itu sendiri, serta tidak mampu untuk bercinta dengan sepenuhnya.
Kita harus terima akan keadaan yang berlaku pada zaman ini merupakan sebuah transisi atau perubahan sosial yang wujud kerana kekurangan terhadap memahami apa itu cinta. Manusia terlalu sibuk dalam urusan seharian, mengejar kebendaan sehingga terlepas pandang untuk mempelajari salah satu seni yang cukup penting dalam kehidupan iaitu seni bercinta.
Konsep yang diutarakan oleh Fromm dalam buku ini cukup menarik. Baginya, cinta merupakan antara salah satu cara seseorang itu cuba keluar dari keadaan kesunyian dan terpisah dari masyarakat. Menurutnya lagi, pengalaman penyisihan dari masyarakat merupakan punca wujudnya gangguan kebimbangan (anxiety disorder).
Idea Fromm ini dilihat cukup berasas. Tambahan pula dalam kehidupan sekarang yang kebanyakannya bergantung kepada teknologi, tanpa disedari kita sebenarnya sedang terasing dan tidak terhubung dengan masyarakat sepenuhnya. Keadaan tidak terhubung dengan sepenuhnya ini membawa maksud kita masih lagi menjadi seorang yang asing dalam sesebuah komuniti. Kegagalan untuk berhubung, berkomunikasi dan bergantung sepenuhnya pada media sosial telah membuatkan kita kehilangan seni yang cukup penting dalam kehidupan, iaitu seni untuk berkomunikasi yang dengannya akan dapat membawa kepada seni bercinta dengan baik.
Buku The Art of Loving ini tidak melayan perasaan membara pembaca yang menginginkan sebuah penulisan berkenaan cinta yang dibaluti ayat-ayat indah namun kosong dari konsep pemahaman terhadap bercinta. Oleh kerana itu juga Erich Fromm menulis dari awal lagi tentang hakikat cinta ini adalah sebuah seni, maka untuk mempelajari seni perlu ada teori dan juga praktikalnya. Buku ini juga tidak akan memberikan satu atau beberapa jawapan yang mudah terhadap bagaimana bercinta atau menghurai situasi-situasi kekeliruan dalam percintaan.
Sebaliknya, Erich Fromm dalam penulisan buku kali ini cuba untuk menjelaskan dengan lebih terperinci terhadap olahan idea-ideanya berkenaan kekuatan yang menjadikan manusia itu makhluk yang sempurna ciptaan Tuhan, iaitu kekuatannya dalam percintaan.
Dalam bukunya, Fromm menjelaskan bahawa cinta adalah sebuah kekuatan dalam membentuk manusia menjadi individu yang lebih baik. Menurutnya lagi, cinta tidak hanya berhubungan romantis antara dua orang, tetapi juga melangkaui kasih sayang dan rasa empati terhadap sesama makhluk hidup.
Fromm juga menekankan pentingnya untuk mengembangkan kemampuan bercinta secara sihat dan matang. Hal ini dapat dilakukan dengan cara memperdalam pemahaman tentang diri sendiri serta meningkatkan kemampuan untuk berempati dan memahami perasaan orang lain. Dengan begitu, manusia dapat merasakan kebahagiaan dan kesejahteraan yang sejati melalui cinta yang sehat dan konstruktif.
Antara permasalahan yang sering dialami oleh pasangan adalah masalah komunikasi. Komunikasi yang tidak mampu memahami dan difahami akan menjadi penyebab kepada wujudnya persengketaan sehingga mampu membawa kepada perpisahan.
Masalah wujudnya perbezaan di antara cara komunikasi di antara lelaki dan perempuan menjadikan ianya sebagai punca permasalahan sebenar komunikasi dalam perhubungan. Secara faktanya, tiada bukti dan asas yang kukuh yang menunjukkan wujudnya perbezaan cara komunikasi di antara lelaki dan perempuan. Namun yang menyedihkan adalah ianya berlaku kerana budaya masyarakat yang masih menganggap perempuan itu sebagai kelas kedua di bawah lelaki.
Ini pernah dinyatakan oleh Sigmund Freud dengan meletakkan terma iaitu penis envy. Freud menghuraikan bagaimana keseluruhan peribadi perempuan yang wujud dalam masyarakat adalah bertitik tolak dari didikan dan ajaran dalam rumah yang mengikut budaya semasa. Penis envy ini merupakan terma yang cukup tabu dan bermasalah pada teori Freud. Ia berkait rapat dengan oedipus complex, penis envy ini merupakan perasaan kecil hati, cemburu oleh wanita kerana kekurangan salah satu anggota badan.
Erich Fromm mengulas konsep ini dari sudut budaya, dan tidak memberi fokus sepenuhnya terhadap seksualiti seperti Freud. Menurut Fromm, wujudnya cemburu atas kekurangan pada diri perempuan ini adalah kerana sejak dari dulu lagi perempuan dilihat sebagai jantina kelas rendah berbanding lelaki. Perempuan perlu berusaha dua kali ganda seperti sekarang untuk berada sama taraf dengan lelaki. Perempuan perlu berfikir dengan lebih kerana setiap apa yang dilakukan akan melibatkan mereka pada akhirnya.
Tiada istilah men are from mars, women are from venus, kerana hakikat sebenar lelaki dan perempuan adalah dari tempat yang sama. Dan yang nyata berbeza hanyalah sudut pandang yang tidak pernah sama antara lelaki dan perempuan.
Comments
Post a Comment