Permulaan Membiasakan Menulis

Boleh dikatakan minggu ini cukup memenatkan. Dalam proses pendaftaran untuk sarjana kali ini, ia merupakan sebuah proses yang cukup memenatkan fizikal dan mental. Baru aku sedar, laman sesawang ini aku pernah buat pada tahun 2011 bagi menulis tentang apa yang aku rasa. Namun, kegagalan untuk kekal menulis membuatkan laman ini berhabuk dan penuh dengan debu debu kekecewaan lampau.

Banyak yang telah berubah sejak dari penciptaan laman ini pada tahun 2011. Sudah hampir 13 tahun rupanya. Pada awalnya, penciptaan ini dikatakan sebagai sebuah kesinambungan terhadap projek yang pernah aku usahakan di Kolej Kesihatan Bersekutu di Ipoh suatu ketika dahulu. Namun, pelbagai cabaran dan onak duri yang berlaku, sehingga aku melupakan terus tentang sebuah proses yang amat aku cintai suatu ketika dahulu, iaitu proses penulisan.

Mungkin diriku pada tahun 2011 akan berasa teruja akan pencapaian yang sedang aku kecapi sekarang. Dengan menjalani kehidupan sebagai seorang suami dan ayah kepada seorang anak, keadaan ini merupakan antara yang tidak pernah aku jangkakan akan menjalaninya dengan sendiri.

Ia nyata sudah melengkapi seluruh kehidupan. Mana tidaknya, dianugerahkan dengan seorang wanita yang cukup sempurna dalam hidup ini, sesungguhnya tiada lagi yang aku inginkan selain kekal dalam menjadi seorang pelajar dan terus belajar.

Jika tidak salah perkiraan, pada April tahun ini maka genaplah 9 tahun aku bekerja sebagai seorang Penolong Pegawai Perubatan. 9 tahun dalam perkhidmatan bukan satu tempoh yang lama jika dibandingkan dengan staf senior yang lain, namun ia terasa cukup lama memandangkan pekerjaan ini bukanlah pekerjaan yang menjadi minat dan impian aku sejak dari kecil.

Dalam tempoh 9 tahun ini, pelbagai rintangan dalam perkhidmatan telah aku tempuhi. Dalam tempoh ini juga aku mula belajar mengenali dan memahami budaya kerja dalam perkhidmatan ini. Pelbagai isu isu yang timbul melangkaui gred, jawatan, jantina, kaum malah dalam pelbagai unit seringkali mengelirukan aku tentang kenapa ia seharusnya dijadikan isu atau permasalahan. 

Penulisan permulaan ini tidak hanya untuk bebelan tentang pekerjaan aku serta budaya kerja yang cukup tidak sihat. Namun, aku cuba untuk membuang segala kerak kerak kemalasan yang telah lama melekat kuat dalam minda aku ini supaya aku mampu untuk mengambil tempat duduk, membuka komputer lalu teruskan proses penulisan yang cuba untuk aku siapkan pada tahun ini.

Aku pernah membayangkan akan menyambung pengajian pada tahap sarjana (master) lebih awal namun disebabkan pelbagai kekangan yang berlaku, maka proses pengajian ijazah sarjana muda aku berakhir lebih lambat. Ini bukan sebuah kisah tentang kejayaan seorang Mohd Rashidi Bin Radzali. Ia lebih kepada sebuah perjalanan kehidupan yang masih lagi belum selesai, dan tidak akan pernah selesai.

Saat aku menulis untaian ini yang sepertinya tiada arah tujuan, aku sudah mula menghadkan penulisan di media sosial bagi memberikan fokus sepenuhnya terhadap penulisan tesis dan juga projek terjemahan. 

Penulisan tesis yang cuba aku siapkan bagi memenuhi syarat graduasi sarjana di UKM adalah berkaitan idea-idea minda bawah sedar yang diketengahkan oleh Sigmund Freud. Penggunaan teori minda bawah sedar, dan juga idea mimpi sebagai pintu yang kelihatan masih samar dalam mengenali peribadi manusia menjadi minat aku untuk mengkaji dengan lebih mendalam lagi. 

Mungkin laman sesawang ini tidak akan dibaca oleh sesiapa. Mungkin juga akan dibaca oleh seseorang, atau mungkin juga akan ada yang terjumpa laman ini ketika sedang mencari perkataan yang ditulis di sini. Biarpun begitu, aku akan tetap berusaha untuk menulis di sini agar segala yang berada di fikiran aku dapat dibaca oleh sesiapa yang ingin membaca. Jika tidak, ia tetap akan menjadi sebuah proses bagi aku untuk mendapat rentak dalam penulisan.

Semoga blog ini bermanfaat buat kalian. Jika tidak bermanfaat, maka maafkanlah diri ini yang serba kekurangan. 

Comments

Popular posts from this blog

Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024

Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan