Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

 
Jika sebelum ini, saya pernah menulis tentang drama dari Astro Originals bertajuk I-Tanggang yang mana tulisan tersebut cuba untuk menyingkap bagaimana penyakit Munchausen Syndrome by Proxy yang diketengahkan dalam drama tersebut menolak autoriti ibu bapa terhadap anak, maka drama terbaru dari Astro ini masih tidak lari dari tema yang sama.
Kekuatan dua figura yang membentuk sebuah keluarga iaitu ibu dan ayah seharusnya bergerak seiring dari sudut fizikal dan emosi. Bahkan kita dapat lihat sendiri bagaimana di dalam buku The Future of Illusion tulisan Sigmund Freud, beliau menghuraikan tentang bagaimana fungsi si bapa dalam membentuk obsessional neuroses yang mana ia merupakan antara sebab manusia itu mencari dan mencipta agama.
Freud dalam buku yang sama, malah buku yang dikritik rapat kerana ia menunjukkan sisi Freud yang tidak begitu mesra dengan agama, menulis tentang bagaimana manusia ini sangat bergantung kepada figura si ayah pada waktu kecil. Kelemahan yang ada pada waktu tersebut dan dengan wujudnya si ayah dalam membantu memberi gambaran tentang bagaimana manusia ini akan sentiasa memerlukan kepada satu entiti yang besar, ghaib dan kuat untuk bergantung harap. 
Bukan Freud saja, malah boleh dikatakan hampir setiap ahli psikologi yang ada sangat mengambil peduli tentang fungsi ibu dan ayah dalam membentuk peribadi remaja. Malah, kebanyakan isu-isu serta masalah sosial yang terdapat pada hari ini juga dapat dibuktikan berkait rapat dengan apa yang disebut sebagai father issues atau masalah figura si ayah pada diri anak-anak khususnya remaja.
Saya selalu teringat pada ayat yang ditulis oleh Prof Wan Nor Wan Daud di dalam buku Penjelasan Budaya Ilmu berkaitan teori perkembangan psikologi. Dalam buku tersebut, Prof Wan Nor mempersoal tentang kenapa remaja Muslim pada hari ini tidak sehebat remaja Muslim terdahulu seperti Sultan Muhammad Al Fateh yang sudah mampu memimpin seangkatan tentera pada usia remajanya. Remaja pada hari ini, malah remaja Muslim sekali pun masih dilihat sebagai tahap perkembangan yang membenarkan mereka ini menjadi individu yang sedang melalui identity crisis. Dengannya, maka kita terpaksa membenarkan mereka ini menjadi seorang yang pemarah, terlalu emosi dan sebagainya lagi kerana kita perlu bersetuju dengan tahap yang dilalui oleh mereka ini merupakan sebuah fasa yang akan menjadikan mereka sebegitu rupa.
Persoalan ini antara yang berlegar di fikiran saya usai menonton sebuah drama yang baru saja selesai tayangannya pada Sabtu yang lepas. Drama Projek: High Council yang cuba untuk menyingkap tentang isu buli di sebuah sekolah berasrama penuh, pada pandangan saya cukup baik dalam mengaitkan isu buli tersebut dengan masalah keluarga yang sedang dihadapi oleh para pelajar di sekolah tersebut.
Drama 10 episod ini menceritakan tentang dua beradik yang terpisah hampir 10 tahun, berjumpa kembali dalam sebuah sekolah yang mengamalkan aktiviti asrama yang tersendiri. Tradisi sekolah turun temurun yang digelar High Council diamalkan oleh para pelajar di sekolah tersebut bagi memastikan tingkah laku para pelajar dapat dikawal dari tingkah laku yang ganas. Namun sebaliknya, tradisi tersebut merupakan tradisi buli yang terkawal serta masih melibatkan pergaduhan namun ia dikawal selia oleh seorang ketua yang dilantik bagi memastikan para pelajar tidak bergaduhan serta berbunuhan sesama sendiri.
Dalam penulisan ini, kita akan melihat dua watak utama serta bagaimana pembentukan peribadi mereka yang terhasil dari figura si ayah yang berbeza. Kisah tentang dua beradik yang terpisah akibat masalah keluarga yang melalui fasa penceraian menjadi tulang belakang kepada drama bersiri ini. Si abang iaitu Naim yang telah lama bersekolah di situ sejak dari tingkatan 1 terkejut melihat adiknya iaitu Fakhri mendaftar masuk tingkatan 4 telah mengeluarkan pelbagai rasa, emosi yang tidak selesai sebelum ini di antara mereka berdua.

Meniti perkembangan watak oleh Naim yang ditunjukkan dengan baik oleh pengarah, kita dapat melihat bagaimana trauma yang dipendam oleh Naim akibat berlakunya peristiwa penceraian di antara ibu bapa mereka. Kesan perceraian oleh ibu bapa sebenarnya cukup memberi impak yang besar kepada anak-anak. Bagaimana tidak, anak-anak yang masih lagi bergantung kasih dan sayang oleh kedua ibu bapa, apabila melihat ibu bapa mereka tidak lagi menyayangi antara satu sama lain akan memberi kesan yang negatif kepada mereka. 


Perceraian yang berlaku telah membawa kepada kehidupan Naim dan Fakhri bersama dengan ibu serta ayah tiri mereka. Fakhri yang masih lagi sukar untuk memproses perpisahan yang terjadi bertindak untuk melarikan diri dari ibunya lalu memilih untuk tinggal bersama ayahnya. 


Perpisahan yang berlaku di dalam keluarga mereka membuka sebuah interpretasi yang berbeza di antara Naim dan Fakhri terhadap ayah mereka. Peribadi Naim yang sebelum ini mirip ayahnya, cuba untuk dibuang jauh oleh Naim kerana Naim menganggap gaya dan tingkah laku ayahnya itu tidak disukai oleh ibunya. Maka dari situ, kita dapat melihat transisi atau perubahan Naim menjadi seorang lelaki yang tidak mudah menunjukkan emosi serta lebih ke arah menjadi seperti ayah tirinya.


Tindakan Naim ini memberi kesan kepadanya dari sudut psikologi serta emosinya. Perubahan yang cuba dilakukan dengan menolak peribadi dan tingkah laku yang asal menyebabkan Naim mudah untuk diserang anxiety dan juga panic attack. Ini sedikit berbeza pada Fakhri. Fakhri melihat ayahnya sebagai seorang lelaki yang memerlukan bantuan. Malah selepas peristiwa perpisahan yang berlaku maka Fakhri merasa bahawa ayahnya merupakan tanggungjawab buat dirinya dan perlu untuk dipertahankan. Oleh kerana itu, Fakhri mudah untuk menjadi panas baran serta tidak akan berfikir panjang untuk memukul mereka yang mengejek ayahnya sebagai seorang lelaki pondan.


Tiada isu sebenarnya dalam melihat seorang lelaki yang berperwatakan lembut dan tidak gagah seperti yang kita selalu lihat kepada lelaki. Namun permasalahan yang nyata dari drama ini ialah bagaimana figura ayah kepada Naim dan Fakhri ini tidak menunjukkan atau menceritakan perkara yang betul kepada mereka, sehingga kedua beradik ini dipenjara oleh emosi sendiri yang dikawal oleh tanggapan yang berbeza. Ayah merupakan sebuah figura yang cukup besar buat anak-anak. Masakan tidak, ketika kecil anak anak ini cukup menyanjungi ayah mereka sehingga bercita-cita ingin menjadi seperti ayah mereka apabila besar kelak. 


Remaja tidak sepatutnya menjadi fasa yang menyerabutkan atau membuatkan mereka menjadi pemarah dan memberontak jika fungsi figura ayah dapat dijelas serta ditunjukkan dengan baik. Fasa remaja yang sepatutnya menjadi tahap di mana individu mencari identiti diri serta haluan mereka dalam kehidupan akan menjadi baik dan teratur jika diberi tunjuk ajar oleh ibu bapa mereka. Fungsi ayah dalam melihat anak anak memasuki fasa remaja ini ialah menyokong anak mereka dalam proses mencari identiti sendiri dan juga memilih haluan mereka sendiri. Permasalahan akan terjadi apabila si ayah cuba untuk memilih sendiri identiti buat anak anak mereka tanpa memberi peluang kepada mereka untuk memilih dengan sendiri. Akibatnya, akan berlaku pertembungan dua identiti yang saling tidak bersetuju lalu membawa kepada terjadinya remaja yang memberontak dan juga tidak mampu untuk mengawal emosi dengan baik.


Erich Fromm di dalam buku tulisannya iaitu Psychoanalysis and Religion menghuraikan tentang bagaimana ahli psychoanalyst ketika itu sedang berusaha untuk membantu pesakit pesakit yang masih dibayangi oleh ayah mereka walaupun ayah mereka telah lama meninggal dunia. Fenomena yang dilihat sebagai neuroses pada waktu tersebut oleh mereka yang mendokong ajaran Freud ini dilihat sebagai perkara yang berbahaya dan mampu memberi bebanan terhadap pesakit-pesakit. Setiap individu yang berjumpa dan ingin menerima rawatan dilihat mempunyai masalah mental serta emosi yang tidak dapat diselesaikan kerana masih lagi bergantung kepada approval atau kelulusan dari ayah mereka dalam setiap pilihan kehidupan. 


Obsessional Neuroses yang dinyatakan oleh Freud ini ternyata melihat individu yang ada sebagai manusia yang masih di dalam penjara emosi mereka sendiri kerana tidak mendapat kesudahan (closure) yang baik oleh ayah mereka. Anak-anak yang membesar menjadi seorang dewasa akan sukar untuk mencapai kebahagiaan dan kegembiraan dalam kehidupan mereka jika perjalanan kehidupan mereka tidak direstui oleh ibu bapa. 


Ia sukar untuk dinafikan tentang kebergantungan emosi oleh anak-anak terhadap ibu bapa. Hatta, apabila anak-anak ini meningkat dewasa serta sudah mampu membuat keputusan sendiri, kita akan masih memerlukan kepada restu dan approval oleh ibu bapa untuk memastikan setiap perjalanan kehidupan kita akan menuju kejayaan.


Ibu bapa seharusnya sedar dan mengambil berat akan hal ini. Hal tentang kebergantungan emosi atau keperluan kepada anak-anak agar ibu bapanya berasa bangga terhadap diri mereka, seharusnya menjadi panduan kepada ibu bapa untuk sentiasa menyokong anak-anak dalam setiap pilihan kehidupan mereka. Kita dapat merasai bagaimana kecewanya Naim ketika meluahkan perasaan kepada ibunya apabila mendapat tahu yang ibunya bakal berpisah dengan ayah tirinya. Naim yang digambarkan sebagai seorang remaja yang terumbang ambing dalam mencari dan mengenal diri sendiri kerana ingin menjadi kebanggaan oleh ayahnya serta lebih disayangi oleh ibunya akhirnya membawa dirinya kepada seorang remaja yang sukar untuk menerima serta membuka dirinya untuk dicintai dan disayangi oleh orang lain. Babak paling ikonik di dalam episod ini yang menunjukkan pengulangan ayat “anak jantan tak nangis pa” oleh Naim kepada ayahnya berjaya memberi gambaran tentang betapa beratnya bebanan yang dirasai oleh Naim sebelum ini dalam menentukan arah kehidupan buat dirinya.


Mendidik anak anak tidak mudah. Bahkan yang membuat terasa bebanan yang ada ialah apabila kita sebagai ibu bapa seharusnya terlebih dahulu perlu membesar seiring dengan zaman yang bakal mereka lalui. Seperti kata ibu kepada Pak Domu di dalam filem Ngeri Ngeri Sedap, ‘"Jika anak-anak berkembang, ibu bapa juga harus berkembang. Menjadi ibu bapa ini tidak pernah ada penamatnya. Sentiasa ada perkara yang perlu dipelajari."


Setiap manusia mempunyai bakat, kelebihan, keinginan yang berbeza dan tidak akan pernah sama walaupun dalam satu keluarga. Ibubapa khususnya ayah harus mula sedar tentang hakikat ini dan mula untuk memberi fokus kepada melihat bakat, kelebihan dan keinginan pada anak anak lalu mula menyokong serta menggilap bakat serta keinginan tersebut. Sokongan dan kebanggaan dari ibubapa tidak akan lari dari menjadi motivasi paling utama anak anak untuk melakukan sesuatu perkara di dalam dunia ini. Bagaimana kita sering diulang-ulang untuk menterjemahkan perasaan kita sentiasa di dalam perhubungan, maka begitu juga seharusnya kita lakukan kepada anak anak dengan mengulang menyebut perkataan bangga dan cinta kepada mereka supaya mereka ini tidak akan tergapai gapai dalam mengenal diri serta mencari identiti diri sendiri.


Permasalahan yang sering dilakukan oleh drama dan filem ialah kebanyakan mereka cuba untuk meruntuhkan autoriti ibu bapa secara tidak langsung tanpa justifikasi yang jelas tentang apa yang berlaku. Namun, dalam drama bersiri I-Tanggang, ia telah berjaya menunjukkan bagaimana autoriti ibu bapa terhadap anak-anak tidak seharusnya bersifat satu hala namun perlu juga mengambil kira emosi dan perasaan anak-anak. Kritikan terhadap drama yang menunjukkan anak-anak bersikap kurang ajar, meninggikan suara tidak akan menjadi ikutan jika ditunjukkan dengan baik kenapa ia berlaku. Seperti dalam drama Projek: High Council, pengarah berjaya untuk memperjelaskan sikap Naim dan Fakhri terhadap ibu bapa mereka serta dapat memberi closure yang baik terhadap perhubungan mereka sekeluarga.

Comments

Popular posts from this blog

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024

Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan