Permulaan Perjalanan Sebagai Seorang Pelajar Pascasiswazah

 Bulan Mac tahun ini merupakan permulaan bulan yang cukup menyibukkan. Bermulalah perjalanan sebagai seorang pelajar sarjana (master) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Aku masih ingat lagi 14 tahun yang lepas, UKM merupakan antara universiti yang aku ingin masuk dan menyambung pelajaran kerana UKM antara satu-satunya universiti yang mempunyai kos matematik (pure mathematics).

Jika di kenang peristiwa-peristiwa lepas yang kelihatannya banyak yang cukup melukakan, nescaya tidak mungkin akan habis satu makalah. Mr Gan pun pernah cakap hari itu tentang memberi fokus penulisan pada pekerjaan aku sekarang. Tapi entahlah, mungkin sebab dah lama tak menulis fiksyen, cukup susah nak karang situasi dan suasana dengan baik.

Perjalanan menjadi pelajar sarjana mungkin akan cukup berliku. Sehingga hari ini aku masih terawang-awang lagi dalam menulis kerangka kajian dengan baik. Kadangkala timbul juga doubt untuk tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri. Selalu kalau fasa-fasa sebegini, bersembang dengan mak pasti akan merungkai kembali keserabutan yang ada.

Pun begitu, Nisa cukup memberi semangat dan sokongan semampunya. Aku pun betul betul terharu mempunyai isteri yang cukup sempurna. Mungkin ini antara doa-doa dari mak juga. 

Keserabutan ini pasti akan terungkai juga seperti selalu. Fasa-fasa ini suatu masa nanti akan juga kita pandang kembali sebagai antara the good old days walaupun hakikatnya melaluinya satu masa dulu tidak seperti yang kita akan rasa suatu masa nanti. Mungkin kerana ketakutan mendominasi semangat dan keyakinan yang ada untuk meneruskan sesuatu yang diidamkan satu masa dulu.

Aku seperti biasa, cuba untuk mengekalkan menulis seperti ini dalam usaha untuk memastikan idea sentiasa ada. Bermula bulan Ramadan ini, susah juga nak menulis. Membaca dan telaah pun agak ke laut juga. 

Dr Alinor ajak buat telaah Freud mula 8 April ini. Ok juga, dalam belajar untuk menyiapkan tesis, dapat juga ulang kaji balik dan cari kumpulan yang betul betul ingin telaah falsafah psikologi dengan tekal. 

Dalam keserabutan dari sisi pembelajaran, kehidupan semakin tenang dan membahagiakan. 'Ali yang semakin membesar dah banyak karenahnya yang boleh menceriakan hidup. Kehidupan sebagai seorang ayah tidak dapat lari dari kehidupan yang memenatkan, tetapi kebahagiaan yang dirasai itu cukup sukar untuk digambarkan. 

Mungkin itu yang sering diulang-ulang oleh para pencinta. Penat tetapi sentiasa berbaloi, seperti candu. Cukup menagihkan.

Oh. Yuran sarjana mahal ya. Dalam tempoh setahun ini memang perlu berjimat cermat. Dan kena usaha betul betul supaya dapat mohon biasiswa juga. Dan kena disiplin menulis penulisan esei/artikel moga ada laman web yang sudi terbitkan. 

Comments

Popular posts from this blog

Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024

Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan