Hujung November
Hari ini baru berkesempatan nak buka laptop, dan menyiapkan tugasan. Hujung minggu lepas, sibuk sedikit. Along sekeluarga bermalam di rumah. Seronok juga along datang rumah. Banyak mengingat kenangan lalu sambil menyembang tentang adik beradik sekarang.
Hari ini menyiapkan kerja di bilik tengah, bilik mainan dan bakal jadi bilik 'Ali nanti. Atau mungkin bilik kongsi dia dengan adiknya. Entahlah, aku sebenarnya teruja juga bila Nisa mengandung. Seronok sangat. Rasa macam kehidupan kembali mempunyai makna. Atau mungkin ia sekadar rasa yang instant, segera sahaja. Bukanlah bermaksud aku bergantung pada orang lain untuk menjalani kehidupan aku sendiri. Cuma aku memerlukan mereka dalam kehidupan aku.
Namun yang merisaukan bila keluarga makin bertambah ini adalah kestabilan kewangan. Mungkin tidak sepatutnya aku risau pada benda yang mungkin atau tidak mungkin terjadi. Sebaliknya kena terus fokus berusaha semampu yang boleh untuk kelangsungan kehidupan mereka.
Dan tidak lagi berharap pada orang lain untuk membantu aku. Pada akhirnya aku kena mula sedar yang tiada akan membantu aku seperti mana aku berusaha untuk membantu mereka suatu masa dulu. Tidaklah berhasrat atau berharap budi baik dibalas baik juga. Namun seronok juga rasa bila kita tidak rasa berseorangan. Tanyakan khabar pun dah lebih dari mencukupi sebenarnya, seperti yang aku selalu buat. Tetapi begitulah kehidupan. Jika sentiasa adil, tidaklah kita akan merasa keadilan tersebut.
Doakan aku terus kuat berusaha, dan perlu kurangkan tidur dan boleh kekal fokus membaca dan menulis sekarang ini. dan mengajar tuisyen. Semoga anak yang bakal lahir ini dan juga 'Ali tidak akan merasa seperti yang aku rasa dan lalui sewaktu kecil sehingga remaja.
Comments
Post a Comment