Good Fortune
Dekat lima hari juga tak menulis di blog ni. Bermakna sepanjang tempoh lima hari ni aku kurang buka laptop. Betul juga, hujung minggu dua hari menghabiskan masa dengan Nisa dan 'Ali. Nisa ajak keluar jalan hari jumaat. Maka berjalanlah kami ke Aman Central, habiskan masa dan duit untuk melihat mereka senyum gembira.
Hari Sabtu tidak ke mana, kami dalam rumah sahaja, habiskan masa menonton filem. 'Ali dengan cerita sesi bertukar dia, kami pula memilih The Ghost Game dari Korea serta Good Fortune arahan Aziz Ansari. Filem seram korea boleh lah layan. Biasalah filem seram, mengupas misteri dan keanehan yang akhirnya dibawa oleh mereka yang tidak mampu menyelesaikan fasa kedukaan dengan baik.
Good Fortune cukup menarik. Ideanya mungkin fresh pada fasa sekarang. Aziz Ansari dengan gaya komedinya membawa sebuah filem yang cuba untuk menyedarkan penonton tentang hakikat kesusahan dalam kehidupan. Sambil mengkritik juga sistem kapitalis yang wujud pada tahap tahap pekerjaan malaikat, Good Fortune mengetengahkan tentang bagaimana rasa keasingan, kekosongan pada kesukaran bukan hanya dapat difahami dengan ayat saya faham semata-mata. Ia hadir dalam keadaan pergelutan di antara meneruskan usaha dalam kegelapan, ketidaktahuan apa yang bakal terjadi pada masa hadapan dengan berputus asa sahaja itu yang lebih baik.
Filem ini banyak mengingatkan aku kembali sewaktu bertugas menjadi IO pada zaman COVID. Fasa tersebut cukup menyukarkan, apatah lagi dengan keadaan kita terpaksa mendengar kesukaran dan kesusahan yang dialami oleh orang awam. Yang cukup diingat ialah seorang lelaki India yang meminta bantuan kepada kami kerana tidak dapat bekerja akibat perlu dikuarantinkan. Allah, aku rasa mungkin dari situ juga menjadi permulaan aku tidak mahu bekerja terlalu lama dalam perkhidmatan awam.
Berhajat juga untuk menulis ulasan filem Good Fortune. Tapi mungkin selepas selesai manuskrip yang tertangguh lama. Aku harap masih ada peluang lah untuk diterima manuskrip ini.
Aku berharap jika sampai waktunya nanti aku berputus asa, masih ada yang tidak berputus asa dengan aku. Masih ada yang bersedia untuk menyambut aku, walaupun ketika aku sudah tidak punya apa-apa lagi dalam dunia ini.
Comments
Post a Comment