Mumbling Around
Ok juga kalau dapat menulis anekdot di sini supaya tersusun semula penulisan aku untuk dijadikan manuskrip. Pukul 1.24 pagi ketika aku sedang menulis dan menyiapkan manuskrip terjemahan untuk dihantar kepada penerbit. Dengan keadaan kehidupan sekarang, waktu yang sesuai untuk menyiapkan penulisan hanya pada waktu malam sahaja. Lebih menenangkan. Cuma kadang-kadang ada juga rasa seram. Hahaha, itulah Nisa cakap juga asyik dok tengok filem seram nanti takut nak berjaga malam.
Tapi itulah, kami berdua kerap juga melayan filem seram. Tapi sebab waktu aku menulis ini masih malam maka aku cuba tamatkan isu ini secepat mungkin. Hahaha.
Menulis menenangkan aku. Sejak dari terpaksa bekerja dalam kesihatan lagi aku menjadikan penulisan dan pembacaan sebagai eskapisme dalam keterpaksaan bekerja.
Ada beberapa yang berselirat dalam minda dalam tempoh seminggu ini. Keputusan untuk berhiatus dengan memadam akaun media sosial mungkin secara tidak sedar dah lama aku ingin lakukan. Sejak dari mula wujud akaun media sosial aku berusaha untuk dikenali atau memerlukan validasi terhadap segala kemampuan aku.
Dari dulu lagi aku susah untuk menyesuaikan diri dengan suasana, persekitaran apatah lagi dengan kehidupan yang terpaksa aku lalui. Bermula dari sekolah menengah sehingga ke universiti, kolej dan ketika bekerja pun aku bersendirian. Lelaki yang pergi kerja pada siang hari dan kemudian pulang ke rumah, atau rumah sewa dan itu sahaja. Tiada kehidupan bersosial di luar waktu kerja.
Mungkin disebabkan itu juga aku berusaha untuk memastikan kawan sekerja di tempat kerja selesa dengan aku. Maka aku sering memberi pertolongan sedaya dan semampu aku bila diperlukan. Dan kadang-kadang tidak diperlukan. Memberi pertolongan tanpa diperlukan ini samalah ertinya dengan bertepuk sebelah tangan. Ia hanya memberi kepuasan kepada diri sendiri. Atau mungkin itu yang aku cuba tutup dengannya untuk mengelak dari realiti yang sebenarnya aku mungkin bersendirian.
Mereka yang pernah aku bantu, dan tolong hanya akan menghubungi aku ketika memerlukan bantuan sahaja. Tetapi tidak untuk bertanyakan tentang keadaan kehidupan aku.
Ada yang mungkin akan menyatakan bahawa perhubungan tidak semestinya begitu. Aku juga berpendapat sebegitu. Dalam perhubungan kita tidak seharusnya meminta atau berharap pada sesuatu. komoditi yang berkehendakkan atau memerlukan supply and demand ini tidak lebih dari hanya amalan kapitalisme yang nihil jiwa.
Namun dalam keadaan sebegini, ada beberapa orang sahaja yang terus kekal bertanyakan khabar kepada aku. Dan dari situlah aku berhajat untuk mengekalkan bulatan kecil sahaja dalam kehidupan ini dengan menjadikan kehidupan lebih private. Dan mungkin keadaan aku yang sering berkongsi keadaan atau urusan terkini aku itu tidak bagus untuk diri aku sendiri. Aku ingin mencuba hidup sebegini. Menikmati setiap detik-detik dengan Nisa dan 'Ali di samping melihat Nisa berjaya mengejar impiannya. Tanpa memerlukan orang lain untuk mengesahkannya.
Aku sudah lupa nak tulis apa lagi tadi. Ini mungkin sebab terkejut juga Nisa dah bangun untuk membuat kerja-kerja gurunya sama. Aku pun perlu juga tidur untuk menyiapkan lagi manuskrip yang tertangguh
Comments
Post a Comment