Mimpi Mak

Beberapa malam ini kerap pula mimpikan mak. Mak seperti biasa berpakaian penuh bertudung labuh berwarna ungu, dan berkurung. Seolah-olah mengenali mak di dalam mimpi sebagai wanita yang bukan mak sendiri. Mungkin sebab kebanyakan gambar yang ada merupakan gambar mak berpakaian penuh menutup aurat. Dan gambar mak berpakaian ungu merupakan gambar yang sering aku ulang tengok merangkul 'Ali yang baru berusia 15 hari. Ia merupakan gambar mak berjumpa dan melihat cucu lelakinya buat pertama kali dan juga buat kali terakhir.

Mimpi yang selalu keluar berbeza namun temanya tetap sama. Ia melibatkan seluruh ahli keluarga, kadang-kadang ada mak dan abah sahaja dan aku di dalamnya. Rasa agak janggal sebab mimpikan mak selepas berhenti ini cukup kurang dan tak jangka untuk mimpikan mak. Mungkin kerana ada perasaan malu dan segan untuk berjumpa atau bertemu dengan mak, walaupun dalam mimpi.

Mengemudi kehidupan dengan bersendirian tanpa dibantu dan didorong oleh sesiapa terutama mak dan abah cukup merisaukan. Ibarat cuba untuk menarah sebuah hutan yang penuh onak duri dan pelbagai bahaya yang menanti semata-mata untuk menjadikannya sebagai sebuah kediaman. Atau lebih susah, menarah hanya untuk membuka jalan kepada sebuah perjalanan yang destinasinya sendiri aku pun tak pasti lagi apa dan di mana.

Teringat menonton The Fountain of Youth Jumaat lepas. John Krasinski (tak ingat nama watak) berusaha meyakinkan adiknya Natalie Portmann ( juga tak ingat nama watak) tentang keseronokan bukan pada destinasi tetapi kepada perjalanan tersebut. Tapi entah di mana keseronokannya sehingga kini aku pun tak pasti lagi. Melihat pada gambaran yang lebih luas, mungkin kematian itu pengakhiran atau destinasi kita, dan kehidupan ini merupakan sebuah perjalanan yang perlu ditempuh. Walau tiada jaminan ombak badai yang menerjang rakus diri sendiri ini akan berhenti.

Atau mungkin keseronokan, kepuasan itu akan tiba bila kita mula menerima hakikat bahawa kehidupan merupakan sebuah endless despair yang pernah diungkapkan oleh filsof eksistensialis. Dengan mengakui bahawa kehidupan ini tidak lebih daripada sebuah kekecewaan maka tiada apa yang boleh diharapkan melainkan hanya mencari sisa sisa kegembiraan yang ada. Dengan merelakan atau menerima takdir juga merupakan cara untuk teruskan kehidupan. Mungkin yang lebih penting dalam kehidupan ialah untuk teruskan kehidupan, teruskan menelusuri onak dan duri. Mungkin lebih baik untuk tidak mengetahui destinasi dari kehilangan kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Mungkin juga mak hadir dalam mimpi untuk mengingatkan tentang perkara ini. 

Atau mungkin juga ia bukan bermaksud apa apa melainkan sebuah kenyataan yang perit untuk diakui bahawa aku sedang merindui mak. 

Moga mak bahagia dan tenang bersama dengan Tuhan. Dan moga Tuhan melindungi mak daripada mengetahui kesukaran atau masalah yang sedang dihadapi oleh aku sekarang. Moga mak dapat menikmati rehatnya dengan bahagia. 

Angah sentiasa merindui dan sayangkan mak.

Comments

Popular posts from this blog

Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024

Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan