Hampir Setahun Menganggur

Sudah hampir setahun sejak berhenti dari pekerjaan Medical Assistant. Cukup menenangkan. Walaupun cabaran yang dilalui sehingga hari ini cukup memberi duga yang tidak dapat diungkapkan. Aku juga tidak menyangka akan menjadi sebegini. Ya, untuk berhenti dari bekerja dalam bidang yang tidak minat cukup melelahkan. Apatah lagi telah bekerja hampir 10 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti.

Dengan berhentinya perkhidmatan dalam kerajaan, maka aku juga telah berhenti dari menyambung pengajian sarjana psikologi di UKM. Bukan tidak mahu untuk menyambung, namun kekangan dari sudut kewangan yang tidak stabil, dengan perubahan sesi kelas ke fizikal yang sebelum ini boleh dilakukan secara dalam talian menyukarkan aku untuk ke sana dari gurun. Sebelum raya puasa tahun ini, aku telah kehilangan dua perkara yang penting buat aku. Pekerjaan tetap yang mampu menjana kewangan stabil serta pembelajaran dalam sarjana yang sepatutnya aku mungkin dah separuh perjalanan untuk mendapat ijazah sarjana pada waktu ini.

Kehilangan dua perkara tersebut membuat kehidupan yang sedang terumbang ambing menjadi cacamerba. Aku gagal untuk mengawal emosi dengan baik dan seringkali mencari salah orang lain untuk mengesahkan tingkah laku aku sendiri sedangkan ia sepenuhnya salah aku. Beberapa kali juga aku cuba untuk mengubah keadaan supaya dapat meluruskan semula emosi. 

Hampir setahun sesudah berhenti kerja baru aku dapat mula bergerak dengan sendiri dalam melalui kehidupan bekerja sendiri ini. Dalam masa yang sama menjadi suami rumah (househusband) dan menjaga 'Ali yang semakin membesar, aku perlu bekerja lebih untuk memastikan tanggungjawab aku memberi nafkah untuk Khairunnisa dan 'Ali dapat dilunaskan disamping dapat membayar komitmen bulanan. 

Ketika anekdot ini ditulis, aku sedang menyiapkan manuskrip terjemahan serta kumpulan esei untuk dihantar kepada penerbit. Aku perlu lebih fokus dan berdisiplin untuk berjaya menyiapkan mengikut tarikh yang dijanjikan. Aku juga berazam untuk mendaftar semula pengajian sarjana pada tahun depan dan berusaha untuk menghabiskan pengajian sebaiknya. 


Comments

Popular posts from this blog

Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024

Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan