ULASAN BUKU KAUNSELING DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM TULISAN RIZAL ABU BAKAR

 

Psikologi Islam tidak berputar di dalam bulatan yang sama. Itu yang dapat saya simpulkan selepas membaca naskhah nipis yang diterbitkan oleh Utusan Publications pada tahun 2009 ini. Buku yang mempunyai sekitar 120 muka surat mungkin tidak dapat menghuraikan dengan lebih jelas berkenaan dengan kaunseling daripada sudut Islam, tetapi ia dapat memberi pendedahan kepada pembaca seperti saya dalam memahami asas-asas kaunseling Islam yang semakin berkembang disiplin ilmunya.

Kaunseling merupakan antara salah satu cabang di dalam ilmu psikologi. Ilmu yang digelar sebagai ilmu jiwa oleh Fadlullah Wilmot di dalam terjemahan buku magnum opus Prof Malik Badri merupakan antara disiplin ilmu yang sangat sukar dan mencabar untuk difahami serta dihayati oleh manusia. Kekuatan pada disiplin ilmu psikologi ini tidak hanya pada bagaimana kesukaran untuk memahami minda serta pemikiran individu yang mendasari tingkah laku mereka, tetapi disiplin ilmu ini merupakan antara salah satu cabang ilmu yang sebenarnya mampu untuk membantu manusia dalam mencari nilai serta makna kehidupan di dunia ini.

Permulaan bab di dalam buku ini menghuraikan tentang bagaimana kaunseling Islam ini mula berkembang sejak dari tahun 1977. Bermula dengan pembentangan oleh bapa psikologi Islam pada tahun 1977, perbincangan mengenai psikologi Islam bergerak dengan aktif seiring juga dengan kaunseling Islam. Perbincangan mengenai kaunseling Islam bergerak dan bercambah kepada dua idea yang akhirnya membawa kepada dua kaedah iaitu kaedah pragmatik dan juga kaedah idealistik. Kaedah pragmatik membawa kepada kaedah penyelidikan dalam ilmu kaunseling Islam yang lebih memberi fokus kepada aplikasi. Ini bererti bahawa kaedah ini menerima pakai idea-idea serta teori dari Barat yang kemudiannya telah dimurnikan dan disesuaikan dengan Islam. Kaedah idealistik pula menghuraikan tentang bagaimana kajian tentang kaunseling serta psikologi ini digali dari teori agung iaitu daripada Al-Quran dan sunnah. Oleh kerana itu, kaedah idealistik ini lebih cenderung ke arah sistem deduktif, iaitu sistem yang mencari sesuatu konsep berdasarkan nas yang terdapat di dalam Al-Quran dan sunnah.

Buku ini juga cuba untuk menerangkan tentang bagaimana fasa-fasa perkembangan teori-teori kaunseling islam. Perkembangan disiplin ini bermula dari ikut-ikutan oleh teori-teori Barat secara membuta tuli sehinggalah kepada proses penerapan dan penggunaan kaunseling Islam secara menyeluruh menyerlahkan kita terhadap bagaimana perbincangan secara berterusan dalam disiplin kaunseling Islam ini akan membuatkan ilmu ini semakin berkembang dan mampu untuk menggantikan disiplin ilmu kaunseling Barat yang dilihat semakin tidak relevan lagi.

Antara subtopik yang menarik perhatian saya ketika membaca buku ini ialah pada bab konsep dan prinsip kaunseling Islam. Dalam bab ini, penghuraian konsep kaunseling Islam tidak hanya bertujuan untuk merawat pesakit tetapi ia juga bertujuan untuk menggalakkan perhubungan yang baik di antara sesama manusia melalui konsep nasihat. Di dalam konsep kaunseling Islam ini juga, disiplin ini cuba untuk menghuraikan jiwa individu kepada enam pecahan iaitu fitrah, roh, nafs, hawa, akal dan juga qalb. Setiap pecahan tersebut membawa makna yang hampir sama namun setiap penerangan yang diberikan terhadap pecahan tersebut berjaya untuk memahamkan pembaca tentang konsep kaunseling islam itu sendiri. Fitrah yang bermaksud suci itu berjaya diterangkan dengan baik iaitu bagaimana setiap individu itu fitrahnya suci dan bersih dari segala dosa, lalu secara tidak langsung menolak ideologi dosa warisan serta menolak pendapat Freud sendiri yang mengatakan manusia itu secara fitrahnya ialah jahat dan penuh dengan keinginan yang sukar untuk dipuaskan.

Huraian yang agak lengkap tentang tokoh-tokoh ilmuan terdahulu yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam bidang psikologi, membuatkan kita sedar bahawa tokoh-tokoh seperti Al Ghazali yang terlebih dahulu menggunakan konsep pengukuhan klasik atau classical conditioning, serta kita juga dapat melihat bagaimana sumbangan Al-Bakhi terhadap rawatan tingkah laku kognitif sebelum idea ini digunapakai oleh tokoh-tokoh Barat. Sumbangan-sumbangan dari setiap tokoh ilmuan Islam ini menjadi bukti dan pencetus kepada kita untuk lebih menggali idea-idea ilmuan Islam dengan lebih mendalam lagi dalam disiplin ilmu psikologi serta kaunseling Islam ini.

Buku ini berjaya untuk menjelaskan secara asas tentang kaunseling Islam dengan baik. Namun begitu, terdapat juga beberapa bab yang kelihatan penulis cuma mengulang idea-idea yang sama namun berbeza dari segi terminologi dan juga bahasa. Namun begitu, ia dapat membantu lebih memahami bagaimana konsep kaunseling Islam yang sebetulnya serta disiplin ilmu ini yang masih lagi terbuka kepada perbincangan serta teori-teori yang baru dalam memahami minda serta pemikiran manusia lalu berusaha untuk merawat agar dapat berfungsi sebagai manusia yang baik.

Comments

Popular posts from this blog

Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024

Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan