TENTANG KECELARUAN KOGNITIF
Baru-baru ini, heboh di media sosial tentang isu seorang
wanita yang bercerita tentang masalah kehidupannya yang semakin menyerabutkan
jiwanya. Kisah wanita tersebut tentang bagaimana kerisauan dia dan suaminya
yang masih belum mempunyai pekerjaan yang stabil, dihimpit pula dengan situasi
yang menurutnya semakin membimbangkan dirinya dan juga suaminya, iaitu wanita
tersebut telah disahkan mengandung. Wanita tersebut diakhir penulisannya
memohon pendapat daripada pembaca sama ada perlu meneruskan dengan menjaga
kandungan tersebut atau menggugurkan kandungannya yang baru berusia sebulan.
Isu ini, malah berbagai isu-isu atau permasalahan,
konflik yang berlaku akibat menghadapi masalah dan sukar untuk berfikir dengan
baik merupakan antara salah satu contoh yang digelar kecelaruan kognitif. Kecelaruan
kognitif ini merupakan antara perkara yang biasa, sering berlaku kepada
individu. Kita sedia maklum bahawa kehidupan di dunia ini, tidak pernah dapat
lari dari masalah. Kemampuan seseorang individu itu untuk berdepan dengan
masalah yang ada, lalu berusaha untuk menyelesaikan dengan baik merupakan
antara salah satu proses kehidupan yang unik namun dapat memberi pengajaran
yang baik kepada individu dalam menempuh kehidupan yang kian mencabar hari demi
hari.
Kecelaruan kognitif, sukar untuk kita dengar terma ini
jika tidak memahami dari sudut psikologi. Kebanyakan manusia merasakan bahawa
masalah ini merupakan perkara biasa dan sepatutnya setiap dari kita tidak akan
mengalami masalah yang berterusan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan
dalam situasi tersebut. Merujuk kembali kepada isu di atas, kisah itu telah
mendapat tindakbalas yang kebanyakannya negatif terhadap wanita tersebut. Menurut
mereka lagi, permasalahan yang dialami oleh wanita tersebut adalah biasa dan
mesti akan mampu ditempuhi olehnya nanti. Ini merupakan antara jawapan atau
tindakbalas yang tidak betul dalam melihat isu ini dari sudut psikologi.
Dalam disiplin psikologi, teori psikologi telah lama
berkembang daripada idea yang mengatakan manusia itu fitrahnya jahat dan penuh
dengan keinginan (psikoanalisis) kepada psikologi kognitif. Psikologi kognitif
yang keluar selepas tidak bersetuju dengan idea-idea dari teori behaviorisma
yang lebih kepada melihat manusia itu bersifat pasif dan hanya bertindak balas
terhadap persekitaran, psikologi kognitif cuba untuk melihat manusia itu lebih
kepada hidupan yang aktif, iaitu mereka ini mampu untuk menilai sesuatu dari persekitaran
lalu dapat memilih bagaimana untuk bertindak balas terhadap sesuatu situasi
tersebut. Kognitif itu sendiri membawa maksud proses mental untuk mentafsir,
mempelajari dan memahami sesuatu. Oleh kerana itu juga, kognitif akan membawa
seseorang individu untuk bertindakbalas terhadap permasalahan yang dihadapi oleh
mereka. Bagaimana seseorang itu cuba untuk menyelesaikan masalah, sama ada
dengan cara yang betul, salah, bergantung kepada bagaimana proses kognitif itu
berlaku di dalam pemikiran seseorang.
Kecelaruan kognitif membawa maksud gangguan dan situasi
yang mempengaruhi kemampuan berfikir seseorang individu. Individu yang
mempunyai masalah kecelaruan kognitif ini akan menghadapi kesukaran untuk belajar,
mengingat dengan baik dan juga sukar untuk berfikir dengan baik dan sempurna. Jika
kita memahami bagaimana sebenarnya keadaan pemikiran kita berfungsi, maka
kecelaruan kognitif ini ialah bagaimana keadaanya jika pemikiran kita tidak
berfungsi dengan baik. Seseorang individu yang mempunyai kognitif pemikiran
yang baik akan dapat melihat sesuatu situasi/permasalahan dengan tenang dan
dapat menyelesaikannya dengan baik. Namun begitu, individu yang mempunyai
kecelaruan kognitif ini, mereka berada pada situasi yang sukar untuk melihat
sesuatu permasalahan itu sebagai satu situasi yang dapat diselesaikan. Oleh
kerana itu juga, mereka ini akan bertindakbalas dengan sering melihat sesuatu
dari sudut negatif dan sukar untuk berfikiran positif.
Selain daripada sukar untuk berfikiran positif,
individu yang mempunyai kecelaruan kognitif juga akan lebih cenderung untuk
berputus asa dengan kehidupan mereka, serta akan mudah untuk melakukan tindakan
yang tidak baik. Jika berbalik kepada isu di perenggan pertama tadi, wanita
tersebut akan lebih cenderung untuk menggugurkan kandungannya oleh kerana wanita
tersebut sukar untuk berfikir dengan kognitif yang baik untuk memproses permasalahan
yang dihadapi olehnya. Wanita tersebut, bahkan setiap dari kita akan mengalami
kecelaruan kognitif paling minimum sekali di dalam kehidupan kita. Kemampuan minda
kita untuk berfikir dan melakukan proses kognitif yang baik tidak akan sama dan
berbeza di antara kita sesama manusia, oleh kerana itu tidak semua masalah yang
sama akan dapat dihadapi oleh setiap orang dan begitu juga sebaliknya.
Terdapat beberapa jenis kecelaruan kognitif yang dapat
dikenalpasti. Antara kecelaruan kognitif yang sering dilihat ialah sukar untuk
berfikiran positif, mudah untuk membuat kesimpulan yang negatif, melihat
sesuatu peristiwa itu secara rigid, tetap, meletakkan label dengan mudah terhadap
diri sendiri atau persekitaran, serta melihat diri mereka sebagai seorang yang
sering membawa nasib malang. Kecelaruan kognitif seperti ini, walaupun terlihat
biasa oleh kita namun tidak seharusnya kita memandang rendah dan kecil jika ia
berlaku kepada individu lain. Kesukaran mereka untuk berfikir dengan baik,
apatah lagi melihat masalah itu dengan mudah akan membuatkan mereka cepat untuk
melakukan perkara yang tidak diingini.
Kecelaruan kognitif, tidak bererti mereka ini
merupakan pesakit mental yang perlu dirawat atau yang merbahaya. Mereka yang
mempunyai kecelaruan kognitif ini cuma individu yang sukar untuk berfikir
dengan baik dan memerlukan bantuan, empati serta sokongan daripada kita
masyarakat sekeliling. Kecelaruan kognitif boleh dirawat, dan dalam prinsip
pengubahsuaian tingkahlaku, kita akan belajar bagaimana untuk membantu mereka
ini supaya mampu untuk berfikir dengan baik. Namun begitu, sebagai individu/orang
awam, kita juga dapat memberi bantuan dan pertolongan dengan memberi sokongan
dan kata-kata yang positif kepada mereka. Tambahan lagi, dengan memahami bahawa
setiap pemikiran/ kognitif individu itu tidak sama dan berbeza di antara sesama
kita, maka kita seharusnya dapat memahami serta berempati terhadap individu lain
yang sedang berusaha dengan gigih dalam menghadapi cabaran kehidupan, seperti
juga kita semua yang menumpang hidup di dunia ini.
Comments
Post a Comment