IDEA IDEA PROF MALIK BADRI TERHADAP BEHAVIORISMA

 

Prof Hatta telah menulis sebuah artikel di dalam Dewan Masyarakat yang dipisahkan kepada tiga bahagian mengenai psikoanalisis, tokohnya iaitu Sigmund Freud dan juga pandangan Prof Malik Badri terhadap psikoanalisis sebagai teori psikologi yang tidak bertuhan. Penulisan beliau terhadap kritikan yang dilakukan oleh Prof Malik Badri dalam menyedarkan pelajar dan juga ahli psikologi Muslim agar tidak berterusan mengikut teori-teori psikologi barat menunjukkan bahawa Prof Malik Badri merupakan seorang tokoh revolusi dalam bidang psikologi. Kritikan yang dilakukan oleh Prof Malik Badri terhadap teori psikologi barat ini sekaligus telah membuka ruang dan peluang kepada ahli psikologi untuk mula menggali khazanah tokoh-tokoh ilmuan Muslim yang terdahulu dalam mencari serta menubuhkan teori baru di dalam bidang ilmu jiwa ini iaitu teori psikologi islam.

Kritikan Prof Malik Badri terhadap teori psikologi barat tidak berhenti kepada psikoanalisis sahaja. Dalam buku magnum opusnya, The Dilemma of Muslim Psychologist, Prof Malik Badri juga mengkritik teori yang datang selepas teori psikoanalisis iaitu teori behaviorisma. Teori behaviorisma ini dilihat oleh beliau sebagai sebuah teori yang tidak hanya menyatakan bahawa manusia ini tiada beza dengan haiwan lain, namun teori ini juga seperti teori psikoanalisis sebelum ini. Ia merupakan antara teori psikologi yang tidak meletakkan jiwa dan agama sebagai konsep terpenting dalam memahami minda manusia.

Behaviorisma merupakan teori dalam psikologi yang bertunjangkan kepada persekitaran. Teori ini menjelaskan bagaimana manusia itu berperangai sesuai dengan adaptasi yang dipelajarinya kepada sesuatu situasi atau persekitaran. Behaviorisma merupakan teori dalam pemikiran psikologi yang datang selepas kejayaan Sigmund Freud dalam mengeluarkan teorinya sendiri dalam bidang kajian ilmu jiwa manusia ini yang diberi nama psikoanalisis. Berbanding psikoanalisis yang mengkaji jiwa manusia melalui fikiran bawah sedar seseorang individu tersebut, behaviorisma yang dipelopori oleh John Watson dengan eksperimen anjing jelir lidah bersama loceng, memfokuskan kepada persekitaran sebagai satu-satunya punca manusia berperangai atau bertingkah laku, iaitu dengan memberi tindakbalas terhadap persekitaran.

Dalam teori pelaziman klasik yang dilakukan oleh Ivan Pavlov, beliau mengatakan bahawa teori behaviorisma ini meletakkan fungsi stimuli atau rangsangan dan juga tindakbalas kepada rangsangan tersebut. Eksperimen yang menjadi ikutan sehingga sekarang ini, memperlihatkan kepada kita bagaimana tingkah laku itu boleh diperkukuhkan dengan menggunakan kaedah-kaedah tertentu, seperti juga anjing yang terjelir lidah menunggu makanan. Eksperimen yang dilakukan oleh Ivan Pavlov tersebut, berjaya membuktikan bagaimana perangai haiwan dapat diperkukuhkan dengan menggunakan kaedah pengukuhan klasik. Kita juga dapat melihat bagaimana pengukuhan klasik ini masih digunakan sehingga sekarang dalam penternakan, bahkan juga dalam pengiklanan. Penggunaan pengukuhan klasik ini dalam bahagian pengiklanan dapat membantu peniaga dalam meraih jualan dengan meletakkan iklan yang bersesuaian sehingga dapat menggalakkan individu yang melihat untuk membeli barang mereka.

Pelaziman klasik yang menjadi tulang belakang kepada mazhab behaviorisma, tidak hanya berhenti setakat ini sahaja. Mazhab psikologi tingkah laku ini telah berkembang ke tahap yang seterusnya, yang disebut sebagai fasa kedua. Fasa kedua dalam mazhab ini merupakan kesinambungan terhadap teori pelaziman klasik tersebut. Ahli teori behaviorisma telah mendapati bahawa terdapat masalah dalam meletakkan teori pelaziman klasik sebagai teori dalam mengkaji tingkah laku manusia. Sekurang-kurangnya terdapat tiga permasalahan yang terdapat pada pelaziman klasik ini. Perubahan ke fasa kedua dalam mazhab behaviorisma oleh John Watson dengan memperkenalkan teori pelaziman operan. Teori ini secara umumnya memberikan pendedahan kepada bagaimana tingkah laku manusia itu boleh dilazimkan dengan menggunakan pengukuhan positif dan juga boleh untuk tidak dilazimkan dengan menggunakan pengukuhan negatif.

Setiap ahli teori behaviorisma ini berminat terhadap kajian perubahan dalam manifestasi tingkah laku, dan bukannya keupayaan mental seperti yang didokong oleh konstruktivisma. Jika dilihat dari teori-teori mereka, dan kajian eksperimen yang memfokus kepada pengukuhan tingkah laku, mereka ini berpendapat bahawa dalam kajian tentang tingkah laku manusia, manusia beradaptasi atau bertingkah laku sebagai suatu kesan terhadap perubahan situasi dan persekitaran yang didiami oleh mereka. Menurut Kamarudin (2010), ahli teori behaviorisma ini berpendapat bahawa otak manusia merupakan sebuah kotak hitam yang gelap dan apa-apa di dalam otak tersebut tidak dapat diamati dan diselidiki. Atas sebab ini, maka mereka menolak secara mutlak sebarang kajian atau pembelajaran yang mengaitkannya dengan otak manusia.

Tidak dinafikan pemikiran teori behaviorisma ini telah banyak membantu dalam merawat tingkah laku manusia, apatah lagi terapi yang berdasarkan kepada teori ini masih lagi digunakan oleh ahli psikologi, namun begitu, kita harus bersedia untuk menerima hakikat bahawa pembelajaran mengenai hakikat personaliti dan tingkah laku manusia merupakan pembelajaran yang cukup rumit. Manusia seperti yang disebut oleh Imam Ghazali di dalam bukunya The Alchemy of Happiness, terdiri daripada ‘heart’ yang jika diterjemah bukan bermaksud jantung tetapi jiwa yang membentuk peribadi setiap individu. Kajian mengenai jiwa atau roh manusia ini merupakan sebuah pembelajaran yang masih lagi dikaji. Ini kerana pengetahuan tentang roh, menurut Al-Ghazali juga di dalam buku yang sama, merupakan pengetahuan yang disimpan oleh Allah bagi hamba-Nya. Oleh kerana itu, kajian tentang manusia dengan kehadiran jiwa dan roh tidak mungkin akan boleh disamakan dengan kajian tentang tingkah laku haiwan atau binatang lain, apatah lagi kajian yang juga dilakukan di dalam makmal.

Teori behaviorisma ini, ditentang oleh Prof Malik Badri kerana beberapa faktor. Pertamanya ialah bagaimana teori ini telah menidakkan fungsi jiwa dan minda manusia di dalam kajian mereka. Kajian terhadap tingkah laku yang diimani oleh teori behaviorisma ini hanya memberi fokus terhadap kajian tingkah laku manusia di dalam makmal semata-mata. Behaviorisma, seperti juga teori psikoanalisis sebelum ini cuba untuk lari dari perkaitan agama dalam kehidupan manusia. Keghairahan mereka ini yang cuba untuk menidakkan fungsi agama dalam kehidupan individu akhirnya membawa mereka untuk bersembunyi di sebalik teori-teori saintifik yang berselindung di sebalik bilik makmal, namun nyatanya kajian-kajian mereka hanya memberi sedikit pengetahuan dalam memahami psikologi manusia itu sendiri.

Prof Malik Badri juga bersetuju dengan tokoh-tokoh seperti Carl Rogers dan juga Lev Vygotsky yang mengkritik behaviorisma ini dengan memahami manusia dari sudut tindak balas mereka terhadap persekitaran semata-mata. Konstruktivisma, sebuah teori yang wujud untuk menyangkal behaviorisma ini cuba untuk memberi sudut pandang lain dalam memahami tingkah laku manusia, iaitu dengan melihat dari sudut manusia itu sendiri sebenarnya mempunyai tindak balas kognitif yang tersendiri dalam menentukan bagaimana mereka beradaptasi dengan persekitaran mahupun masalah. Prof Malik Badri, dengan konsistennya masih mengkritik keghairahan teori-teori ini yang cuba untuk lari dari agama sehingga akhirnya terlepas dari memahami fungsi jiwa, minda serta pemikiran manusia itu sendiri dalam memahami tingkah laku manusia di dalam ilmu psikologi.

Prof Malik Badri telah meninggalkan sebuah legasi yang cukup besar terhadap ilmu psikologi. Dengan membuka pintu terhadap kajian serta hubungan yang erat di antara Islam dengan psikologi manusia, beliau telah menunjukkan jalan kepada kita untuk terus mengkaji dengan lebih mendalam lagi. Kita dapat lihat ilmu psikologi sehingga kini masih terbuka luas untuk kajian kerana masih belum memahami dengan baik psikologi manusia itu sendiri. Islam sebagai agama yang syumul serta menyeluruh ini mampu untuk memberi panduan dalam memahami ilmu jiwa manusia itu sendiri. Keghairahan dalam mengagung-agungkan tokoh-tokoh psikologi Barat perlu berasas dan tidak secara membabi buta yang mana jika berlarutan akan membawa pelajar serta pengamal ilmu psikologi ini ke arah kebinasaan iaitu terperosok masuk ke dalam lubang biawak yang sering diulang-ulang oleh Prof Malik Badri itu sendiri di dalam buku beliau.

Comments

Popular posts from this blog

Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024

Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan