TENTANG ERTI BAHAGIA
Pernah aku
terfikir akan justifikasi bahagia itu apa. Sepanjang perjalanan menunggang
motorsikal jenama SYM Bonus dari Sungai Petani menuju ke UUM Sintok, seringkali
juga minda aku melayang ke tempat lain. Pernah sekali itu, aku nyaris nyaris ditimpa
kemalangan di atas lebuhraya. Mujur juga motorsikal aku itu tidak mampu memecut
laju, maka sempat juga aku berhenti sebelum berlanggar dengan lori yang
terpaksa berhenti di tepi lebuhraya kerana terdapat kerosakan pada enjinnya
itu. Ternyata ada juga hikmahnya.
Perjalanan yang
agak jauh itu mengambil masa 2 jam lebih juga, membawa erti bahawa aku perlu
keluar dari rumah pada pukul 6.30 pagi, ketika mana mentari masih lagi belum
memancarkan sinarnya. Perjalanan penuh dengan keghairahannya yang tersendiri,
bukankah begitu? Sepanjang perjalanan aku menuju ke tempat kerja, rasanya dua
kali juga motosikal aku mati di tengah perjalanan kerana minyak motor sudah
habis. Ya, walaupun kerap juga berulang alik, kadang-kadang aku masih belum
dapat meneka dengan baik kadar minyak yang perlu digunakan. Atau ada juga waktu
yang aku malas untuk keluar dari lebuhraya dan masuk ke pekan Jitra semata-mata
untuk mengisi minyak. Begitulah, malas kita akan ada akibat yang perlu
ditanggung, bukan?
Namun sepanjang
dua kali motosikal aku kehabisan minyak, aku tidak perlu untuk menolak jauh ke
stesen minyak terdekat kerana pasti akan ada penunggang motosikal yang akan
membantu aku. Syukur juga rasanya aku pada waktu itu.
Seingat aku, pada saat-saat
berita keluar mengatakan aku perlu ke Changloon untuk bertugas di sana, aku
agak kecewa, frust juga. Mak waktu itu, memujuk aku mengatakan bahawa
ada hikmah. Ya, ada hikmah dan rasa hikmah itu dua benda yang berbeza waktu
datangnya.
Aku masih tertanya-tanya
apa itu bahagia. Ya, aku tidak lupa akan ayat aku yang pertama dalam karangan
ini tadi. Aku pun tiada niat untuk menjadi penceramah yang seringkali terbabas
dari tajuk ceramah. Bahagia yang benar-benar subjektif ini seringkali aku lihat
ketika bersendirian di C-Mart Changloon, melihat betapa seronok, riangnya
kanak-kanak bermain di tempat permainan kanak-kanak yang terletak di depan
kaunter pasaraya. Bahagia juga dapat aku lihat di Restoran Yasmeen Nasi Kandar,
melihat seorang lelaki yang makan nasi kandar di situ dengan penuh berselera
sekali, tanpa menghiraukan hiruk pikuk di luar kedai.
Persoalan yang
sama juga tetap aku fikirkan apabila dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur
ke Kedah bersama Nisa. Ketika Nisa sedang nyenyak tidur di sebelah, aku dan
fikiran aku akan melayang bersama. Pernah juga aku berfikir, apakah Pia itu
sedih dan tidak merasa bahagia langsung sepanjang kehidupannya? Dan di akhir
telefilem Deritanya Pia, Pia meninggal dunia dan memberi bahagia kepada Zhafran
dan Qis, apakah tuhan itu memilih siapa yang perlu bahagia atau tidak?
Bahagia itu kekal
subjektif. Apa yang membuat kita bahagia, belum tentu mampu membahagiakan orang
lain. Kebahagiaan yang dirasakan oleh budak-budak yang bermain di taman
permainan tidak akan mampu difahami dan dinikmati oleh orang dewasa. Aku masih
rasa Pia tidaklah sederita dari apa yang kita lihat. Mungkin empati kita akan
merasakan bahawa Pia tidak merasai langsung kebahagiaan di dalam hidupnya,
kerana empati kita itu didasari oleh keadaan diri sendiri yang merasakan bahawa
aku bahagia kerana aku ada apa yang aku ada sekarang. Maka Pia tidak bahagia,
kerana dia tiada apa yang aku ada sekarang.
Setiap manusia
tidak akan pernah sama rasa keinginan, rasa kehendak dalam dunia. Mungkin sebab
itu, aku sering mengulang bahagia itu tidak akan pernah sama antara manusia.
Perasaan bahawa kebahagiaan itu suatu yang collective, perlu sama antara
sesama manusia menurut Carl Jung dalam buku The Undiscovered Self
merupakan antara barah yang perlu disangkal oleh setiap manusia. Jung yang
menulis tentang collective mindmasses di dalam buku nipis tersebut
berusaha untuk menerangkan keburukan yang akan terjadi jika manusia itu hilang
identitinya sendiri kerana terlalu cuba untuk mengikut kehendak crowd,
atau masyarakat.
Tekanan masyarakat
tidak dinafikan sering memberi ketakutan kepada kita selaku manusia. Tanggapan
masyarakat sekeliling dalam melihat diri kita sendiri akan memberi kesan kepada
cara kita mencuba untuk menikmati kehidupan di dunia ini. Tanggapan-tanggapan
yang seakan bunyi bunyian kosong pada awalnya kemudian akan menjadi bait-bait ayat
yang akan mula kekal dalam minda kita. Ketakutan akhirnya akan bertindak keluar
mengambil alih fungsi minda kita ketika itu lalu kita akan mula untuk mengikut
sahaja apa saranan-saranan yang dikatakan oleh masyarakat dalam menjalani kehidupan.
Begitu hakikat
yang cuba untuk diperjuangkan oleh Jung. Dalam buku tersebut, Jung yang penuh
dengan penyesalan dan kekecewaan, melihat manusia yang semakin hilang identiti
diri kerana terlalu cuba untuk mengikut sepenuhnya apa yang ada dalam
masyarakat tanpa cuba untuk mengenal diri sendiri terlebih dahulu.
Begitu juga dengan
apa yang kita rasa pada erti bahagia. Collective mindmasses yang mendorong
pemikiran kita untuk merasakan bahagia itu perlu sama pada semua orang, akan
memudahkan setiap dari kita untuk melihat setiap manusia itu tidak bahagia jika
dia tidak mempunyai apa yang kita ada dan nikmati dalam dunia ini. Pia dalam
telefilem Derita Pia itu akan dilihat sebagai seorang wanita yang tidak sempat
menikmati bahagia di dalam kehidupannya.
Lalu bagaimana
untuk kita cuba menilai bahagia itu? Mungkin bahagia itu tidak perlu
dinilai,apatah lagi dibanding-bandingkan dengan yang lain. Cukup dengan cuba
menikmati apa yang ada pada sekeliling kita, itu juga bahagia. Ya, syukur itu
bahagia. Agak cliché bukan?
Manusia tidak akan
merasa bahagia selagi tidak cuba untuk mengenal diri sendiri, dengan cara
mengenal tuhannya. Begitu tulisan Al-Ghazali di dalam bukunya The Alchemy of
Happiness. Menurut Al-Ghazali, yang membuatkan manusia itu mampu untuk
merasakan kenikmatan bahagia itu ialah apabila manusia itu sendiri sudah mula
mengenal apa tujuan kehidupannya di dunia ini serta permulaan perjalanan
kehidupannya untuk mengenal tuhan, iaitu Allah yang satu.
Al-Ghazali dengan
idea tentang bahagianya berjaya membuatkan aku tidak mengantuk sepanjang lima
jam perjalanan di atas jalanraya. Fikiran yang masih melayang tentang makna apa
itu bahagia membuatkan aku juga turut cuba untuk bertanya pada diri sendiri.
Apakah aku sedang bahagia sekarang?
Aku toleh ke kiri,
di sebelah tempat duduk penumpang. Nisa masih lagi tidur dengan tenang.
Sesekali perutnya yang besar bergerak-gerak menampakkan tapak kaki yang kecil
dari dalam.
Mungkin si dia pun
turut sama ingin berbicara denganku tentang apa itu bahagia. Atau mungkin juga
si kecil yang masih di dalam rahim itu memahami resah seorang bakal ayah yang
tidak lama lagi akan menimang cahaya mata.
Aku kembali
memberi fokus kepada perjalanan yang berbaki satu jam sahaja lagi. Suasana di
lebuhraya masih tetap sunyi namun tidak pernah menghalang tumpuan dalam
pemanduan. Ya, aku seorang yang sangat menikmati indahnya sunyi. Sunyi pada
waktu malam, walau tidak mampu melihat sesuatu, tetap terasa indah sebuah dunia
ciptaan tuhan. Tuhan yang juga menciptakan waktu malam, dan tidak hanya waktu
siang.
Comments
Post a Comment