Multisemesta sebagai Mimpi yang Tidak Terjamah
Dalam disiplin ilmu psikologi, khususnya
psikoanalisis, mungkin multisemesta boleh dijelaskan dengan keinginan keinginan
seseorang itu yang telah di tekan ke dalam minda bawah sedar. Freud berpendapat
dalam teorinya berkenaan bagaimana keinginan keinginan manusia tidak hilang,
tetapi sebenarnya telah ditekan (repressed) ke dalam minda bawah sedar.
Keinginan keinginan tersebut ditekan sehingga kita tidak akan ingat mengenainya
kerana dikhuatiri jika kita tahu dan ingat, keinginan tersebut akan mengawal
emosi dan minda sehingga akan mengganggu kehidupan realiti/sebenar seseorang
itu.
Jika dalam filem Dr Strange in The
Multiverse of Madness menjelaskan mimpi merupakan kejadian yang sebenar
terjadi kepada kita namun di multisemesta yang berbeza, ini juga sebenarnya
tidak lari jauh dari idea dan teori Freud mengenai mimpi yang merupakan pintu
kepada keinginan keinginan yang telah ditekan di dalam minda bawah sedar. Mimpi,
menurut Freud merupakan kepingan kepingan kepada keinginan kita yang telah di
tapis oleh minda. Keinginan keinginan yang berada di dalam minda bawah sedar
perlu untuk diterjemahkan/dikeluarkan juga sesekali agar tidak ditekan terlalu
lama. Jadinya, mimpi itu dikeluarkan sebagai satu alternatif untuk terjemahkan
keinginan keinginan kita. Oleh kerana itu, Freud juga menjelaskan mengapa kita
sukar untuk mengingat kembali mimpi kita. Ini merupakan salah satu mekanisma
pertahanan dari minda agar keinginan itu tidak keluar mengganggu kehidupan
realiti kita.
Begitu pandangan Freud yang telah membuka teori
psikoanalisis dalam psikologi sebagai sebuah idea untuk memahami tingkah laku
manusia. Kekuatan idea-idea Freud ini bermula sewaktu melakukan kajian bersama
dengan Joseph Bauer terhadap punca-punca berlakunya histeria pada seorang
pesakit wanita pada waktu tersebut. Psikoanalisis cuba untuk menjelaskan
bagaimana tingkah laku manusia yang abnormal itu berlaku disebabkan oleh manusia
itu sendiri yang mempunyai terlalu banyak keinginan-keinginan yang sukar untuk
diterjemahkan ke dalam realiti. Konsep id, ego dan superego yang diperkenalkan
juga memberi maksud bahawa manusia ini secara sifat asalnya merupakan makhluk
yang mempunyai banyak keinginan namun disekat oleh realiti. Penggunaan konsep
id, ego dan superego yang merujuk kepada keinginan, penyekatan dalam realiti
dan kekangan dari budaya, masyarakat serta agama menjelaskan tentang bagaimana
Freud itu sendiri merasakan manusia ini tidak layak untuk hidup di dalam dunia
realiti kerana penuh dengan kekangan.
Dalam filem Everything Everywhere All at
Once, multisemesta dijelaskan seakan mirip dengan teori mimpi yang
dikeluarkan oleh Freud. Ketika kita dihidangkan dengan babak kehidupan Evelyn
dalam semesta lain, terdapat satu kehidupan dirinya yang mana dia tidak membuat
keputusan untuk mengikut suaminya sekarang, sebaliknya kekal bersama ibu bapanya
dan kehidupan tersebut digambarkan sebagai kehidupan paling bahagia buatnya.
Ini merupakan salah satu contoh keinginan dalam minda bawah sedar Evelyn
tersebut. Evelyn merasakan kehidupan realitinya tidak bahagia, tambahan lagi
dengan keadaan anaknya pula yang akan semakin jauh darinya, membuatkan
keinginan keinginan tersebut mula keluar dalam bentuk yang boleh mengganggu
kehidupan realiti nya.
Gambaran tentang bagaimana kerosakan yang
akan jadi jika Wanda dapat berpindah ke multisemesta yang terdapat kehidupannya
bersama dengan anak anak akan menghadapi kehancuran, begitu juga yang akan
terjadi jika kita sebagai manusia memilih untuk kekal dalam kenangan yang
diulit indah bersama keinginan keinginan kita. Keadaan ini disebut oleh Freud
sebagai neuroses yang boleh terjadi dalam banyak bentuk masalah mental.
Penjelasan tentang keinginan-keinginan
serta kegagalan untuk berpegang pada dunia realiti kerana masih bersangkut
dengan kenangan-kenangan silam mungkin mudah untuk dijelaskan dengan penggunaan
ayat ‘kalau’. ‘Kalau’ merupakan ayat yang ditegah untuk tidak menggunakannya
kerana ia melambangkan kegagalan seseorang Muslim itu untuk berpegang pada
takdir. Kita sebagai seorang yang beragama Islam yang percaya pada Qadaq dan
Qadar, tidak seharusnya bergantung kepada kenangan-kenangan yang semakin
menjauhi kita sehingga sukar untuk menikmati kehidupan pada dunia realiti. Namun
begitu, kenangan-kenangan tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja. Setiap perjalanan
kehidupan seseorang manusia itu akan membawa kita kepada kehidupan kita pada
sekarang ini. Segala keperitan, kegagalan, kekecewaan yang telah kita tempuh sebelum
ini merupakan antara luka-luka yang menguatkan kita menjadi seorang manusia
yang semakin kuat menerima ujian dalam kehidupan.
Namun begitu, tidak dinafikan terdapat
juga mereka ini yang sukar untuk melupakan kenangan-kenangan dari masa lalu. Keupayaan
untuk hidup dengan menerima takdir yang tertulis, tidak sama antara kita sesama
manusia. Ada yang mampu menerima takdir dengan redha, namun ada juga yang masih
berusaha untuk keluar daripada kegembiraan sementara dari kenangan-kenangan
yang sukar untuk dilupakan.
Teori psikoanalisis oleh Freud ini sukar
untuk diterima oleh kita sebagai seorang Muslim. Freud cuba untuk melihat
manusia itu dari sudut bagaimana manusia ini cuma bertingkah laku melalui
keinginan-keinginan kita. Freud secara langsung menganggap bahawa manusia ini
secara fitrahnya jahat dan mempunyai banyak keinginan-keinginan yang tidak
diterima oleh realiti. Psikologi islam menyangkal idea-idea Freud ini dengan
meletakkan manusia itu suci, mulia dan secara fitrahnya manusia itu baik dan
juga berkehendak kepada agama/tuhan. Kebahagiaan seseorang manusia itu juga
tidak dinilai dari sudut keinginan serta kehendak jasmani manusia itu sahaja,
malah menurut Prof Syed Naquib Al Attas, kebahagiaan paling tinggi buat
seseorang manusia ialah dengan kembalinya manusia itu dengan sepenuh jiwa dan
raganya kepada Allah, tuhan yang Maha Pencipta. Syed Naquib Al Attas mengaitkan
bagaimana kefahaman yang betul terhadap agama iaitu Islam serta pegangan tauhid
yang kukuh akan membawa manusia itu kepada sebuah kebahagiaan yang abadi.
Manusia, tiada daya usaha yang dapat
dibuat tanpa izinNya. Begitu juga dengan takdir perjalanan kehidupan yang telah
tertulis sejak dari Luh Mahfuz lagi. Bagi kita sebagai seorang manusia yang
percaya dengan takdir dan juga jalan kehidupan yang telah diatur oleh Allah,
maka setiap dari peristiwa kehidupan, baik, suka dan gembira, malah yang buruk,
duka dan sedih merupakan antara jalan kehidupan yang terbaik untuk setiap dari
kita. Usaha untuk cuba memahami takdir yang telah berlaku, serta cabaran untuk
hidup dengan kenangan-kenangan yang mendewasakan tidak hanya tertakluk kepada ritual
semata-mata namun harus bergandingan dengan spiritual yang juga seharusnya
seiring. Al Kindi menyatakan bahawa untuk mencapai kebahagiaan, manusia perlu
mengubah keinginan-keinginan terhadap perkara atau benda yang tidak kekal, dan
hanya fokus mengejar perkara-perkara yang kekal iaitu mengejar ilmu. Idea Al
Kindi ini juga menjadi tunjang utama dalam ideologi Al Attas dalam memahami
kebahagiaan manusia. Usaha mempelajari ilmu yang baik, benar akan membawa manusia
itu kepada kebahagiaan yang teratas, iaitu kebahagiaan dalam mengenal dirinya sendiri
serta mengenal Tuhan.
Mimpi, berupa cebisan kenangan kenangan
yang bercampur bersama keinginan dari dasar hati kita boleh menjadi racun
walaupun dasarnya merupakan antara punca kekuatan kita dalam menghadapi
kehidupan masa sekarang. Kenangan lalu biar sahaja tersimpan kukuh dalam
ingatan buat penguat semangat, lalu teruskan mencipta kenangan baru buat diri
sendiri dan juga orang sekeliling.
Comments
Post a Comment