Nikmatkah Hidup Kita?
“Memang tak makan kambing ka?Sayanglah kalau tak makan
kambing, hilang satu nikmat dunia,”
Ayat ini pernah dilontarkan kepada aku waktu ada event makan
makan di tempat kerja. Aku cuma senyum sahaja pada waktu itu. Balik rumah,
fikiran aku melontarkan beberapa soalan yang memaksa aku cuba mencari
jawapannya.
Apa maksud sebenar
kenikmatan?
Jika semua manusia
menikmati benda yang sama, apa ertinya tuhan jadikan dunia ini berbagai bagai
jenis keindahan dan kenikmatan?
Jika pemikiran manusia normal, mungkin persoalan ini terlalu
obses dan tidak penting pun sebenarnya. Tetapi bagi aku, ini merupakan antara
persoalan basis yang perlu diperjelaskan kerana outputnya nanti akan
mempengaruhi perangai dan pemikiran manusia masa depan.
Nikmat secara etimologis berasal dari bahasa arab yang bererti
segala kebaikan, keenakan, dan semua rasa kebahagiaan. Sesuatu yang bermanfaat
di dunia dan akhirat seperti ilmu dan akhlak mulia. Maksud mudahnya
nikmat/kenikmatan ini ialah suatu perasaan yang dialami/dirasai oleh seseorang
manusia apabila melakukan/membuat sesuatu.
Apabila berbicara mengenai perasaan seseorang manusia,
bermaksud itu melibatkan keseluruhan peribadi seseorang manusia itu. Seperti
yang kita tahu, manusia ini sama dari segi fizikal tetapi berbeda dari sudut pemikiran,
emosi dan rohani maka menunjukkan kepada kita bahawa setiap manusia itu
mempunyai keinginan/desire yang berbeza dari seseorang yang lain. Ada manusia
yang mendapat kenikmatan dengan membaca, ada yang mendapat kenikmatan hidup
dengan melihat keindahan di atas puncak gunung. Begitulah hakikatnya manusia,
dan bagaimana tuhan menjadikan manusia itu berbeza beza keinginan agar kita
mengenali serta belajar untuk hidup dengan mereka yang berbeza dengan kita.
Berbalik kepada isu kambing sebagai kenikmatan dunia ini,
aku memang pernah makan kambing dahulu dan aku rasa biasa saja. Bagi aku
kenikmatan pada makanan ini letaknya bukan kepada sedap, tetapi kenikmatan itu
letaknya pada darjah kelaparan yang aku rasa. Semakin aku lapar, semakin nikmat
makanan yang aku makan. Jika aku sudah atau mampiri kenyang, maka tiada
langsung makanan yang terasa nikmat/sedap bila makan. Pernah juga aku bertanya
kepada kawan aku akan bagaimana manusia boleh makan sesuatu benda yang kecil
pada saiz dan isi tetapi mahal dari segi harganya. Apakah manusia sudah tidak
lagi memerlukan rasa kenikmatan terhadap kelaparan? Atau sebenarnya kita sudah
semakin terkeliru dengan kehendak tubuh badan kita sendiri. Atau apakah
sebenarnya kita sekarang ini tidak lagi makan untuk menghilangkan lapar tetapi
kita makan kerana mengikut kenikmatan yang dirasai oleh orang lain, kenikmatan
makan di tempat mahal tetapi tidak langsung mengenyangkan?
Artikel ini mungkin akan terasa suatu jenaka kerana
perbahasan di dalam ini tidak lebih daripada isu makanan dan rasa kenikmatan
terhadap makanan itu. Tetapi bagi aku jika dalam isu makanan pun kita tak mampu
mencari kenikmatan sendiri dan perlu mengikut orang lain, bagaimana dengan isu
isu lain yang lebih besar seperti memilih pasangan hidup, memilih pekerjaan dan
bagaimana pula dalam mendidik anak anak suatu saat nanti?
Manusia terutama anak muda perlu jelas dengan apa yang kamu
rasa, kamu ingin dan kamu mahukan. Dunia mungkin tidak menghidangkan keindahan
jika kita memilih sesuatu yang tidak menjadi pilihan kebanyakan orang, tetapi
tanyakan kepada diri sendiri apakah nilai kehidupan kita setelah maut
menjemput?Adakah bahagia dengan pilihan/keinginan kita atau penyesalan yang
tiada erti kerana kepuasan hidup itu tidak dirasai kerana terlalu sibuk
mengejar kenikmatan manusia lain?
Comments
Post a Comment