Sherlock Dan Kritikan Kepada Manusia Normal
Menonton secara marathon drama bersiri Sherlock lakonan
Benedict Cumberbatch dan Martin Freeman tidak memerlukan masa yang panjang
memandangkan setiap siri cuma ada tiga episod. Namun aku mengambil masa
seminggu jugak untuk menghabiskan setiap siri sehingga The Abominable Bride
yang merupakan pre untuk Season 4. Drama bersiri ini bagi aku secara
keseluruhannya berbeza dengan drama bersiri yang aku ikut sebelum ini seperti
The Walking Dead, Game Of Thrones yang bercorak/berkisar mengenai politik,
kemanusiaan. Sherlock menghidangkan kepada penonton akan kapasiti sebenar
bagaimana menjadi seorang manusia. Dengan memperkenalkan watak utama iaitu
Sherlock yang begitu taksub terhadap ‘keintelektualan’nya dalam menyelesaikan
setiap kes melalui pembacaan bahasa badan, aku dapat simpulkan pengarah drama
bersiri ini secara tidak langsung ingin mengkritik golongan manusia biasa yang
normal tetapi dalam masa yang sama mengkritik manusia seperti Sherlock ini yang
kelihatan kurang sensitif terhadap emosi dan perasaan manusia.
Dalam siri pertama drama ini, aku masih ingat dialog
Sherlock yang memerli John Watson kerana dia melihat tetapi tidak ‘observe’. Apabila
sampai kepada dialog ini terlintas di dalam kepala aku mengenai ayat Alquran surah
Al-A’raf ,
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka
jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak
dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata
(tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat kebesaran (tanda-tanda kekuasaan
Allah), dan mereka mempunyai telingan (tetapi) tidak dipergunakannya untuk
mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seumpama binatang ternak, bahkan mereka
lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A’raf, 7: 179 )
Sherlock
ini bagi aku sebenarnya secara tidak langsung sedang mengkritik kita yang
kurang menggunakan salah satunya nikmat tuhan yang bermakna dalam kehidupan
iaitu akal. Kita(baca manusia normal) ini sebenarnya tidak mahu bersusah payah
dalam kehidupan dan memilih untuk hidup senang, belajar untuk bekerja, bekerja
untuk mencari duit(makan), berkahwin untuk kelangsungan homosapien, kemudian menjadi
tua dan seterusnya mati. Kehidupan biasa seperti ini juga pernah dikritik oleh
Prof Hamka dalam untai kata di bawah,
Kalau hidup
sekadar hidup,
Babi di
hutan juga hidup,
Kalau kerja
hanya sekadar kerja,
Kera juga
bekerja.
Manusia juga
sebenarnya tidak dapat lari daripada emosi dan perasaan. Apabila kita melihat
bagaimana drama ini menggambarkan Sherlock yang cerdik tetapi tidak langsung
mempunyai empati serta hati kering, sedikit sebanyak membuat kita sedar bahawa
manusia ini tidak akan mampu mencapai kesempurnaan. Keseimbangan Sherlock ini
dapat kita lihat setelah dia berkenalan dan berkawan dengan John Watson yang
berjaya secara tidak langsung menjadikan Sherlock ini lebih manusia.
Panjang panjang
aku tulis ini sebenarnya bukanlah nak promote series ini, cuma kalau rasa macam
tengah mencari filem/tv series apa yang boleh membuat kau sedar akan
tanggungjawab kau dilahirkan di dunia ini bukan sekadar memikirkan adakah
Fattah Amin dan Neelofa ini sedang bercinta, ataupun kenapa Che Ta tak bayar
cukai, ini antara cerita yang amat bagus. Tonton dan berfikirlah, kerana dengan
berfikir tiada apa apa perkara yang sia sia dalam dunia ini.
Comments
Post a Comment