Nukilan Keresahan Hati
Jika diikutkan tarikh akhir menulis di sini, telah hampir dua bulan aku tidak menconteng apa apa di kanvas peribadi ini. Pada ketika aku menulis ini, pada pagi jam 2. Sudah beberapa hari aku tidur tanpa ada rasa ketenangan di dalam diri. Mungkin kerana berbagai perkara yang berlaku dalam tempoh bulan ini yang menyebabkan segala pergerakan, malah pemikiran agak berselirat dan hampir memaksa diri untuk berputus asa.
Tiada tujuan lain ketika menulis diari ini. Mungkin ini sahaja saat dan ketika aku dapat merungkai segala keserabutan di minda dengan menekan abjad di papan kekunci ini. Ada yang menyatakan menulis dapat memberi ketenangan dalam usaha pencarian diri. Itu mungkin terlihat benar pada sisi pandang aku sekarang.
Perubahan cara mengemudi kehidupan bermula bulan ini cukup memenatkan. Selalu juga Nisa bertanya penat yang seronok atau penat yang tidak seronok. Penat yang seronok tetapi dalam masa yang sama juga cukup menakutkan. Aku bersyukur pada Tuhan, sesungguhnya sangat sangat bersyukur kerana Tuhan menghadirkan seorang bidadari yang sentiasa menenangkan aku di saat keserabutan yang sering melanda sekarang. Namun aku juga perlu sedar, bidadari tersebut juga seorang manusia yang perlu aku persiapkan dia dan anak kami dengan keperluan fisiologi manusia seperti makanan dan tempat tinggal.
Kerjaya aku sekarang di ambang kejatuhan. Sebetulnya, kerjaya yang tidak pernah walau sesaat sekalipun selama 9 tahun kerjaya ini menarik minat aku. Berada dalam suasana kerjaya yang tidak minat cukup memberi kesan pada konflik intrapersonal diri sendiri. Selama hampir 12 tahun (termasuk belajar di kolej selama 3 tahun), konflik sentiasa wujud yang mana akan sentiasa membawa kesan-kesan negatif yang cukup memenatkan. Seperti melalui fasa tekanan yang cukup menakutkan.
Mereka sering mengulang tentang perasaan sense of belonging di tempat bekerja. Atau mungkin tidak mengulang dalam tempoh pertemuan yang singkat, tetapi perkataan sense of belonging itu sering terulang ulang di fikiran. Perasaan berada di tempat yang betul dan diterima, nampak seperti sebuah konsep yang mudah namun aku tidak pernah merasainya sepanjang perkhidmatan aku. Aku juga merasakan cukup indah andai dapat merasai perasaan sense of belonging tersebut. Kita tidak perlukan motivasi apa lagi dalam kerjaya selain perasaan itu. Rasa diri berada di tempat yang diterima, your value is appreciated dan kita dapat memberi fokus sepenuhnya pada kerjaya tersebut. Ini yang betul betul aku inginkan pada sekarang ini.
Mak pernah cakap dahulu, apa apapun, kerjaya ini yang membawa aku kepada sebuah anugerah yang sangat bernilai di dunia ini sekarang. Mak sentiasa betul. Walaupun pada ketika mak melontarkan idea tersebut, aku cuba menafikan kebenarannya, tetapi itulah kuasa paling hebat yang ada pada seorang mak. Dia tahu apa yang perlu dikatakan dan ia tetap akan memberi kesan walaupun bakal mengambil masa yang lama. Ya, cukup lama sehingga aku mula sedar akan hakikat itu selepas mak telah meninggal dunia.
Ada beberapa perkara yang sering aku teringat selepas pertemuan tersebut. Seperti suffer in silence yang tidak aku rasakan pada ketika keputusan yang aku buat ini yang juga bakal memberi kesan pada kerjaya aku sekarang. Mungkin kerana buat pertama kalinya aku merasakan yang aku punya kuasa untuk memilih, tidak seperti yang aku rasakan sebelum ini. Siapa sangka, mempunyai pilihan dan mampu memilih itu merupakan antara salah satu cara untuk menikmati sebuah kebebasan.
Kebebasan cukup menakutkan. Sebagai seorang yang telah banyak membaca penulisan Erich Fromm, ya baru sekarang aku mula faham kenapa manusia lebih memilih untuk kekal dikawal. Membuat pilihan itu mudah, tetapi untuk hidup dengan kesan akibat pilihan yang telah dibuat itu cukup susah. Kita perlu bertanggungjawab terhadap kesan yang bakal dihadapi dan itu lebih susah jika dibandingkan dengan mengikut sahaja acuan yang ditinggalkan oleh nenek moyang dan cara budaya masyarakat sekarang.
Mungkin juga aku menjadikan kerjaya aku sekarang ini sebagai safety net aku. Apa apa yang tidak mampu aku kejar, aku akan mudah berputus asa dan kemudian kembali bekerja semula yang pada akhirnya tetap akan membawa kepada konflik intrapersonal. Mungkin juga cara yang paling benar adalah dengan memotong safety net yang ada dan memberi fokus sepenuhnya terhadap minat aku supaya aku dapat meneruskan cita-cita dan impian aku untuk bekerja di tempat yang aku dapat rasai sense of belonging itu.
Aku cukup takut dengan kebebasan ini, walaupun baru sedikit rasa yang aku sedang nikmati sekarang. Mungkin kerana ia tidak hanya bakal memberi kesan kepada aku seorang, tetapi juga insan yang aku sayang. Namun, Nisa sentiasa menyokong aku. Aku berhutang budi itu padanya. Sungguh, cukup banyak yang aku telah terhutang budi padanya, dan dia juga tetap seperti itu. Sentiasa mengukir senyumannya yang dapat menghilangkan setiap resahku dan juga mulutnya yang tidak lekang mengungkapkan kata-kata sokongan dan sayangnya kepada aku.
Mungkin aku tidak melakukan pilihan sebegini sebelum ini kerana aku tidak mempunyai sokongan moral yang baik. Pilihan yang aku buat sekarang ini sentiasa akan memastikan Nisa dan 'Ali sentiasa menjadi keutamaan untuk aku, biarpun kesannya terpaksa aku hadapi seorang diri. Ah, apa sahaja untuk senyuman mereka, biarpun aku perlu berkorban segalanya di dunia ini. Kerana mereka berdualah duniaku sekarang.
Mungkin dengan meluahkan di sini, aku akan mula tenang dengan pilihan yang aku buat. Apa-apa yang berlaku, biarlah ia berlaku. Apa-apa yang bukan kepunyaanku, tidak sepatutnya aku fikirkan. Lagipun tiada yang punyaku. Semuanya kepunyaanNya. Rasa cinta, kasih dan sayang ini pun rasa yang dicurahkan dari Nya buat aku nikmati dan curahkan untuk mereka.
Semoga perjalanan pengajian sarjana aku dipermudahkan. Semoga 'Ali sentiasa mengingat akan fasa-fasa ini, fasa yang cukup memenatkan aku dalam usaha memperbaiki kehidupan yang baik untuk dia dan bondanya. Semoga juga dia sentiasa diingati dengan usaha aku dalam berjuang mengejar impian aku, supaya dia juga tidak akan mudah berputus asa nanti.
Oh, aku baru lepas tonton filem Abang Adik tadi. Ya, setiap orang sedang berjuang dengan kehidupan masing masing. Perlu sentiasa empati, faham dan tidak mementingkan diri sendiri. Semoga yang membaca ini terus berjuang dan tidak berputus asa dengan kehidupan. Aku juga berharap sebegitu. Semoga aku juga terus berjuang menghadapi kehidupan yang cukup memenatkan ini. Semoga tuhan mengasihi kalian dan merahmati kalian.
Comments
Post a Comment