Pengurusan Emosi dalam Filem Good Will Hunting

 

Sukar untuk menolak kekuatan sebuah filem yang cuba untuk menterjemahkan bagaimana fungsi emosi manusia dalam menentukan arah kehidupan yang bakal mereka lalui. Kita bahkan seringkali dipertontonkan dengan bagaimana psikologi manusia mendorong seseorang itu dalam memberi reaksi terhadap persekitaran, namun jarang sekali untuk melihat bagaimana pengubahan terhadap emosi manusia itu dapat membuka ruang kepada pilihan-pilihan kehidupan yang sebelum ini dilihat hanya mempunyai satu jalan semata-mata.

 

Dalam disiplin ilmu psikologi, terma seperti intellectual intelligence, emotional intelligence bahkan spiritual intelligence seringkali dilaungkan, dicatatkan ketika ingin mengolah secara empirikal tentang kepandaian manusia, pengurusan emosi yang baik serta kekuatan spiritual dalam kehidupan seseorang. Kita juga sedia maklum tentang perbahasan yang telah lama dihuraikan mengenai keadaan manusia itu sendiri yang akhirnya dipersetujui oleh Prof Syed Naquib Al Attas dalam penghuraian buku Al Attas’s Psychology bahawa manusia ini padanya ada dua, iaitu fizikal dan juga rohani. Keterlibatan fizikal manusia berkait rapat dengan jasmani, tubuh badan manusia yang juga menurut beliau hanya merupakan pinjaman dari Allah. Kekuatan rohani yang didasari oleh ‘aqal, diperjelaskan tentang bagaimana padanya terdapat emosi yang sentiasa berbolak balik. 

 

Emosi merupakan antara keunikan yang ada pada manusia. Perasaan seronok, sedih, gembira, risau, gelisah merupakan antara emosi yang pasti akan kita rasai sepanjang kehidupan kita. Tidak perlu diungkap dengan lebih jelas tentang apa itu emosi, cukup dengan merenung kepada diri anda sendiri saat ini. Apa yang anda sedang rasakan? Maka itulah emosi yang sedang anda rasai sekarang.

 

Perjalanan kehidupan seseorang manusia tidak dinafikan akan menghadapi pelbagai kesukaran dan cabaran. Kesusahan yang dialami oleh seseorang individu, walaupun terlihat sama permasalahannya namun ia tetap akan terasa berbeza bergantung kepada bagaimana kehidupan itu mendorong perjalanan yang dilalui oleh individu tersebut.

 

Good Will Hunting merupakan sebuah filem yang cukup unik dalam memperlihatkan kepada kita sebagai penonton tentang bagaimana permainan emosi dalam mendorong pemilihan perjalanan kehidupan seseorang. Emotional intelligence, bukan merupakan terma baru yang dikeluarkan dalam masa-masa masyarakat sedang bergantung kepada cebisan-cebisan kemanusiaan yang tinggal dalam diri setiap dari kita. Ia merupakan kesinambungan terhadap perbincangan mengenai kekuatan intellectual intelligence yang sebelum ini dilihat merupakan antara kelebihan yang ada pada manusia yang mampu membuatkan setiap dari manusia itu mampu mencapai tahap kemampuan yang mereka idamkan dalam kehidupan.

 

Will Hunting bukan merupakan seorang manusia biasa. Bahkan dalam filem ini, pada babak permulaan, kita akan dihidangkan dengan bagaimana kehidupan Will Hunting yang terlihat sangat tipikal dan biasa, akan terpana apabila melihat watak utama filem ini yang sedang cuba untuk menyelesaikan masalah matematik di atas cermin dalam tandas rumahnya. Dari babak ini, dan juga babak yang seterusnya yang menunjukkan Will Hunting berjaya menyelesaikan permasalahan matematik yang sukar sehingga mengujakan Prof Gerard Lambeau, menjelaskan kepada kita akan kehebatan Will Hunting ini yang memang seorang yang genius.

 

Namun begitu, kenapa perjalanan kehidupan Will ini ditunjukkan oleh pengarah Gus Van Sant sebagai seorang pemuda yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, malah seringkali masuk keluar mahkamah dan penjara atas masalah disiplin yang teruk? Sedangkan dengan kelebihan yang ada pada Will itu sebetulnya tidak seharusnya akan menjadikan perjalanan kehidupan beliau sesukar seperti itu.

 

Pernah suatu ketika dahulu, sebelum adanya idea tentang emotional quotient atau emotional intelligence, penggunaan intellectual quotient menjadi fenomena dalam masyarakat. Masing-masing akan menilai seseorang itu dari sudut IQ, dalam menentukan individu tersebut pandai atau tidak. Malah, ibu bapa akan berbangga jika anak-anak mereka mempunyai IQ yang tinggi, menunjukkan penanda aras dalam menentukan perjalanan hidup seseorang itu sama ada berjaya atau tidak ialah dengan menggunakan nilaian dari IQ.

 

Namun, perubahan kajian tentang kecerdasan (intelligence) telah berkembang dalam dunia psikologi, selari dengan perubahan cara hidup masyarakat. Kisah kisah tentang bagaimana individu yang mempunyai IQ yang tinggi namun masih tidak berjaya untuk memilih jalan kehidupan yang terbaik, telah membuka jalan kepada bermulanya kajian tentang emosi manusia. Kemampuan manusia untuk menguruskan emosi mereka dengan baik, akan berupaya untuk melakukan pilihan-pilihan dari jalan kehidupan yang akan membawa ke arah sebuah kehidupan yang baik.

 

Kehidupan Will Hunting mula berubah selepas dia berjaya menyelesaikan persoalan matematik dan dijumpai oleh Prof Gerard Lambeau. Gerard yang melihat Will tidak hanya sebagai seorang manusia yang genius, namun merasakan bahawa Will akan menjadi seperti dirinya cuba untuk memandu arah perjalanan kehidupan Will Hunting agar dia tidak mensia-siakan kurniaan tuhan yang diberikan. Namun, ini berbeza pandangan dengan Prof Sean Maguire. Sean berpendapat bahawa Will perlu dibantu agar dapat menguruskan emosinya dengan baik selepas melalui pelbagai trauma yang menghinjakkan dirinya ke arah kehidupan yang sedang dilalui olehnya.

 

Dari sini, kita dapat lihat bagaimana Prof Sean cuba untuk menembusi pertahanan emosi yang semakin menebal dibina dalam diri Will Hunting. Will bersikap defensive, sukar untuk menerima orang lain dalam dirinya akibat tidak berdaya untuk memaafkan diri sendiri atas perkara-perkara silam yang dihadapi sepanjang hidupnya.

 

Atas ketidakupayaan Will Hunting untuk menerima jalan kehidupan masa silam dengan baik atau redha, maka Will masih lagi dihantui oleh trauma trauma yang dihadapi ketika waktu kecil dahulu. Dan trauma-trauma tersebut berjaya membentuk personalitinya kini yang menjadi seorang yang sukar untuk mengikut undang-undang negara dengan baik.

 

Prof Syed Naquib Al Attas pernah menghuraikan konsep pendidikan buat seseorang di dalam bukunya Islam dan Sekularisma. Prof Al Attas mengatakan perbezaan di antara konsep pendidikan Barat dan Muslim ialah, pendidikan di Barat hanya cukup untuk menjadikan seseorang itu sebagai individu yang mampu berfungsi dengan baik kepada negaranya sahaja. Tetapi konsep pendidikan kepada Muslim mencakupi dunia dan akhirat. Pendidikan yang baik dan jitu akan menjadikan seseorang individu itu sebagai seorang Muslim yang baik di dunia dan juga baik serta selamat di akhirat. Perbezaan pendapat di antara Prof Gerard Lambeau dan Prof Sean Maquire dalam menentukan nasib Will Hunting dapat dilihat seakan akan mirip konsep pendidikan. Prof Gerard tidak lain hanya berusaha untuk menjadikan Will Hunting hanya sebagai seorang individu yang menghargai nikmat kurniaan kepandaian kepadanya sahaja agar dapat berbakti pada negara. Namun, Prof Sean melihat Will sebagai seorang manusia yang masih tergapai gapai oleh trauma masa silam dan berusaha untuk cuba keluar dari lohong ‘black hole’ yang menakutkan dari kenangan silam agar dapat menjadi seorang manusia yang mampu memilih jalan kehidupannya yang sendiri.

 

Kita dapat lihat pada pengakhiran filem ini, hanya menunjukkan sebuah kereta yang dipandu oleh Will Hunting melalui lebuhraya dalam sebuah perjalanan yang panjang. Sepanjang kredit dikeluarkan, selama itu babak tersebut dibiar menghiasi kaca televisyen kita sambil kita membaca siapa pelakon-pelakon dan kru yang terlibat dalam penghasilan file mini. Ia mungkin ingin menunjukkan tentang keadaan emosi Will Hunting yang sudah mampu untuk berdamai dengan masa silamnya dan kini sudah mampu untuk memilih jalan kehidupan yang terbaik buat dirinya. Kita juga dapat lihat bagaimana Will Hunting ini tidak memilih untuk bekerja di tempat yang ditemuduga, namun memilih untuk ke Harvard di mana tempat kekasihnya berada untuk bersama dengannya. Babak ini juga menunjukkan kepada penonton akan kemampuan Will Hunting untuk mula menerima orang lain dalam hidupnya, bererti dia sudah boleh melupakan trauma-trauma yang dihadapi olehnya suatu masa dahulu dan dapat meneruskan hidup dengan mencari kebahagiaan buat dirinya.

 

Pengurusan emosi yang baik akan membantu individu dalam mengenal diri sendiri serta dapat memilih jalan kehidupan yang mampu untuk memberi kebahagiaan buat dirinya. Ini yang cuba diterapkan oleh Prof Sean Maguire kepada Will, dan juga kepada kita selaku penonton. Bahawa filem ini tidak hanya cuba untuk menunjukkan kepada penonton tentang berdamai dengan takdir, namun ia juga cuba untuk menunjukkan kepada kita bagaimana pengurusan emosi yang baik akan dapat membantu manusia itu menuju kepada kebahagiaan dalam kehidupan. Kita sering melihat dalam media sosial hari ini terdapat hashtag bahagia cara kita dan yang sama maksud dengannya. Kebahagiaan tidak akan pernah sama definisinya antara sesama manusia. Kejarlah kebahagiaan, dan bantulah antara satu sama lain dalam mengejar bahagia dengan cara yang tersendiri.  


Comments

Popular posts from this blog

Menyingkap Fungsi Figura Ayah (father figure) dalam Membentuk Peribadi Remaja : Sebuah Ulasan Drama Projek: High Council

Membaca The Art Of Loving pada Tahun 2024

Penghijrahan Sebagai Sebuah Idea Kebebasan