Coretan buatmu Duhai Anak
Assalamualaikum anakku,
Ketahuilah olehmu bahawa
penulisan babamu ini merupakan untaian perasaan diriku buat dirimu dan juga
buat bondamu, kekasih baba yang amat baba cintai.
Tanggal 4 April 2022, bondamu
mengejutkan babamu ini dengan dua garis biru setelah baba pulang dari kerja.
Buat pengetahuan dirimu, baba dan juga bonda telah berkahwin dan saling
mencintai sudah hampir empat tahun. Sepanjang perkahwinan kami, tiada keraguan
antara sesama kami, dalam mengharungi rumahtangga yang penuh suka dan duka. Baba
mendengar cerita dari bondamu, tentang bagaimana bondamu merasa mual dan loya
ketika memasak untuk berbuka puasa. Pada awalnya bondamu merasakan cuma
penyakit gastrik di bulan puasa sahaja, namun dia berasa hairan kerana bondamu
cuma loya dan mual ketika memasak sahaja. Oleh kerana itu, bondamu telah
membuat ujian UPT dan seketika kemudian telah berkongsi berita yang penuh
kegembiraan buat kami berdua ini.
Bondamu berulang kali menenangkan
baba, bahawa usah khuatir tentang masa depan, dan insyaAllah anak ini akan
membawa rahmat dan bahagia dalam rumahtangga. Begitu cinta bondamu kepada baba,
seperti juga cinta dan kasih Siti Khadijah terhadap Nabi kita, Nabi Muhammad
SAW. Bondamu cukup memahami baba. Baba mengaku bahawa sebelum ini baba belum
bersedia untuk menambah orang baru dalam keluarga kecil kami. Namun, sejak dua
bulan yang lalu, baba merasakan baba bersedia untuk menerima segala yang bakal
dianugerahkan buat tuhan kepada kami berdua. Baba memberitahu bondamu bahawa,
baba tidak risau, malah baba rasa cukup terharu dan bersyukur kepada Allah kerana telah mempercayai kami berdua untuk
menjaga amanah yang cukup besar ini, iaitu untuk menjaga, serta mendidik seorang
lagi umat Muhammad dalam usaha untuk menyebarkan agama Islam dan juga
mengharmonikan dunia.
Babamu ini,
apabila mendapat perkhabaran yang dinanti-nantikan ini, baba merasa sama
seperti ketika mula mula dahulu sewaktu bondamu melamar baba untuk berkahwin
dengannya. Ya anakku, bondamu ini sifatnya seperti Siti Khadijah. Bondamu
seorang wanita yang hebat di mata baba. Baba tidak menyangka bahawa baba diberi
peluang untuk merasai pengalaman yang cukup bermakna ini, iaitu pengalaman
membesarkan anak yang bakal menjadi seorang manusia yang berguna untuk agama,
bangsa dan negara. Berulang kali kami berdua sering mengingatkan sesama kami,
bahawa anak ini bukan hak milik kami. Bahkan kami berdua juga tidak memiliki
sesama kami, kerana yang layak untuk memiliki cuma Allah, tuhan yang satu
sahaja. Pengulangan demi pengulangan ini kami lakukan dengan tujuan untuk
mengingatkan kami bahawa anak ini merupakan amanah buat kami dari segi pinjaman
dari tuhan untuk kami jaga, belai dan didik dengan penuh kasih dan sayang. Begitu
harapan bonda dan baba terhadap dirimu, duhai anakku.
Hari ini, ketika
baba sedang menulis coretan ini, bondamu masih juga dalam fasa loya, mual dan
alahan ketika mengandung. Bondamu sukar untuk berbuka puasa kerana gastrik
angin di dalam badannya. Bondamu juga tidak dapat makan makanan atau masakan
yang terdapat bahan tumisan di dalamnya. Baba kasihan melihat bondamu, namun
dari riak wajahnya walaupun ada keletihan tetapi penuh dengan seri ceria kerana
telah mengandungkan dirimu. Itu tanda bondamu telah mencintaimu walaupun kami
belum dapat melihat dirimu lagi. Baba juga, setelah mendapat perkhabaran
gembira ini, tidak dapat menafikan yang baba telah mula mencintaimu, anakku.
Baba dan bonda sentiasa berdoa agar dirimu sihat sejahtera dalam kandungan
bondamu. Dan baba juga sentiasa berdoa kepada tuhan, agar tuhan memberi
kesihatan yang sempurna buat bondamu dan juga buat dirimu. Kekuatan doa sebagai
perantara buat hamba dengan Tuhannya, merupakan ikatan yang kukuh dalam jiwa
manusia. Ketika berdoa, manusia sebagai hamba akan menyerahkan segala
pengharapan bagi dirinya kepada Allah. Baba juga sebagai seorang manusia dan
hamba, tidak berdaya atas apa apa yang berlaku melainkan jika diizinkan oleh
Allah.
Duhai anakku, baba
tidak tahu sama ada tulisan ini baba akan jadikan diari sepanjang tempoh dirimu
dalam kandungan bondamu atau tidak. Namun, jika masa dan waktu mengizinkan,
baba akan menulis juga sebagai kenang-kenangan baba dan juga bondamu dan juga
sebagai ingatan buat dirimu bahawa bonda dan baba teramat mencintaimu dan
sangat menantikan dirimu untuk bersama dengan kami.
Sekian dulu
coretan buatmu, wahai anakku. Ketahuilah duhai sayangku, baba teramat mencintai
dirimu dan juga bondamu.
Dari babamu,
7 April 2022
Comments
Post a Comment